Lagu Kecewa raih lebih 300,000 tontonan di YouTube sejak dilancarkan 25 Jun lalu.
Lagu Kecewa raih lebih 300,000 tontonan di YouTube sejak dilancarkan 25 Jun lalu.
Syafil Syazwan Jefri


PADA usia 22 tahun, penyanyi dan komposer, Tuah Adzmi berkongsi rasa serta perasaannya dalam lagu yang dicipta.

Bagi sesetengah orang, usia itu mungkin masih muda. Namun, sebagai manusia, Tuah atau nama sebenarnya Arumi Nafiz Mohd Adzmi berkata, dia juga ada perasaan ingin dicintai seperti orang lain.

Dari situ, dia mengumpul pengalaman yang diadun dengan melodi sekali gus 'dituangkan; dalam bentuk lagu.

"Saya faham, ada yang menganggap usia muda seperti tidak layak untuk berbicara mengenai cinta, bahkan mungkin pengalaman bercinta juga masih cetek.

"Namun, tidak kiralah usia berapa pun seseorang itu, tentunya ada rasa untuk bercinta dan dicintai. Dari situlah saya menimba pengalaman yang dijadikan kisah dalam lagu ciptaan saya," katanya.

Terbaharu, Tuah hadir dengan single keempat berjudul Kecewa yang sudah dilancarkan di YouTube sejak 25 Jun lalu.

"Alhamdulillah, sejak dilancarkan, lagu Kecewa ini nampaknya mula meraih perhatian peminat muzik tanah air sekali gus menjadikan jumlah tontonannya mencecah lebih 300,000 sejak dilancarkan.

"Walaupun ia single keempat saya, ia single kedua bersama syarikat rakaman FMC dan menjadi kesinambungan kepada lagu terdahulu," katanya.

Bercerita lebih lanjut mengenai lagu baharu itu, Tuah berkata ia adalah lagu lama dalam koleksi yang sudah ada sejak tahun lalu.

"Lagu ini saya sudah cipta sejak setahun lalu. Namun, apabila dipilih untuk dijadikan single baharu, saya perkemaskan lagi di beberapa bahagian dan apabila saya muat naik versi demo di YouTube, ramai yang suka," katanya.

Bercerita mengenai perkembangan karier seni, Tuah mengakui namanya berkembang sedikit perlahan .

"Walaupun sudah masuk lagu keempat, saya akui nama belum cukup dikenali dan perkembangan agak perlahan.

"Namun, itu tidak menjadi tekanan buat saya apabila lagu yang dikeluarkan mula mendapat perhatian. Itu sedikit sebanyak menyuntik semangat kepada saya untuk bekerja lebih keras," katanya.

Tuah juga berharap kehadirannya akan terus diterima dan dapat menambah warna dalam industri seni lantun suara tanah air.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2020 @ 6:42 AM