Penyanyi Tuah Adzmi. FOTO Hairul Anuar Rahim
Penyanyi Tuah Adzmi. FOTO Hairul Anuar Rahim
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Walaupun namanya semakin meningkat naik, penyanyi, Tuah Adzmi, 24, masih meneruskan kerjanya sebagai penjaga stor di sebuah kilang Al-Quran di Kajang.

Tuah yang popular menerusi lagu Insan Kau Cinta berkata, dia berbangga dengan kerja yang juga menjadi sumber mata pencarian buatnya itu.

"Bagi saya, tak ada apa yang nak dimalukan. Selagi kerja yang saya buat itu halal, saya rasa bangga dan itu juga menjadi sumber pendapatan utama saya," katanya.

Menurut Tuah, dia yang pernah menyertai program Big Stage musim keempat pada Februari lalu sudah mula bekerja di kilang sama sebelum menyertai program itu.

"Sebelum menyertai Big Stage, saya bekerja di situ sepenuh masa sebelum bercuti untuk fokus kepada program itu. Selepas selesai dengan program itu, majikan menawarkan saya untuk bekerja separuh masa.

"Bagi saya, saya sekarang lebih berhati-hati kerana apabila ada kerja tetap, saya akan lebih yakin untuk meneruskan kelangsungan hidup.

"Kerjaya sebagai penyanyi ini, pendapatannya bukanlah tetap dan kita takkan tahu bila kita akan naik dan jatuh.

"Saya sendiri dah pernah melalui fasa di mana saya berdepan masalah kewangan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Sebelum ini, Tuah pernah berdepan masalah kewangan ketika PKP sehingga memaksanya menjual kereta miliknya untuk dijadikan modal perniagaan ketika bulan Ramadan.

Terbaharu, Tuah kini hadir dengan single baharu berjudul Dusta Cinta hasil ciptaan komposer Vega, Subroto dan Sufy manakala lirik lagu ini ditulis oleh Tuah sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Julai 2022 @ 2:17 PM