MURID Perempuan Tahun Satu SK Lipasu parah selepas diserang seekor anjing pada Jumaat lalu. FOTO ihsan pembaca
MURID Perempuan Tahun Satu SK Lipasu parah selepas diserang seekor anjing pada Jumaat lalu. FOTO ihsan pembaca
Fardy Bungga


MURID perempuan berumur tujuh tahun parah selepas diserang seekor anjing, ketika pulang dari sekolah, 15 November lalu.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Lipasu di Ranau itu dikatakan mengikuti beberapa murid lain untuk pulang ke rumah.

Bagaimanapun, ketika berada kira-kira 300 meter dari luar kawasan sekolah, seekor anjing tiba-tiba mengejar kumpulan murid berkenaan menyebabkan mereka lari berpatah balik ke dalam sekolah.

Namun, mangsa dikatakan tidak sempat menyelamatkan diri sebelum diserang anjing berkenaan.

Rakan mangsa yang berjaya kembali ke sekolah kemudian melaporkan kejadian itu kepada pengawal keselamatan sebelum mereka bergegas ke lokasi untuk menyelamatkan mangsa.

Pengawal keselamatan itu kemudian membawa mangsa ke dalam kawasan sekolah sebelum dihantar mendapatkan rawatan.

Sementara itu, Pengarah Pendidik Negeri Sabah, Sr Mistrine Radin berkata, mangsa dihantar guru ke hospital.

Katanya, mangsa dihantar ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) Likas untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Difahamkan mangsa selalunya dijemput bapanya, bagaimanapun pada hari kejadian bapa mangsa dikatakan terlewat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 November 2019 @ 7:47 PM