SINGLE pertama raih 11 juta tontonan di YouTube sejak Februari lalu.
SINGLE pertama raih 11 juta tontonan di YouTube sejak Februari lalu.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


AZZARA Band kini sedang mengatur langkah menghasilkan karya berkualiti dengan meletakkan sasaran mahu berjaya seperti Khalifah.

Pemain dram kumpulan itu, Mohd Hairol Azhar, 32, atau Boy berkata, mereka lebih bersemangat apabila vokalisnya, Mohd Azrizal Aziz atau Ejai sudah dibenarkan keluar hospital pada 19 Oktober lalu.

Ejai dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, Selangor sebaik terjatuh ketika bermain futsal pada 14 Oktober lalu.

Akibat kejadian itu, Ejai hilang ingatan malah tidak mengenali rakan-rakan mahupun ahli keluarganya.

“Alhamdulillah, Ejai sudah keluar hospital selepas menerima rawatan selama lima hari. Keadaan dia stabil dan sudah mengenali semua orang,” katanya.

Dengan perkembangan positif itu, mereka yang baru lapan bulan menjejakkan kaki dalam industri muzik tanah air komited mahu mengembangkan bakat.

“Kami sentiasa memberikan semangat kepada Ejai dan mahu dia melupakan kisah lalu. Apa yang penting, semua ahli kumpulan akan menitikberatkan kesihatan dan keselamatan ketika bersukan,” katanya.

Selain Boy dan Ejai, Azzara Band turut dianggotai gitaris, Mohd Hairul Azam Mohd Yasir, 31, atau Kid dan pemain bass, Mohd Fauzan Rofie, 29.

Menurut Boy, atas semangat setia kawan mereka membatalkan undangan persembahan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor pada 16 Oktober lalu berikutan Ejai ditimpa ujian berkenaan.

Dalam perkembangan terbaru, band itu akan menjalani penggambaran video muzik untuk single kedua berjudul Jaga-Jaga.

Kata Boy, lagu itu duet bersama kakak kepada penyanyi Tajul iaitu Baby Aca. Lagu yang dihasilkan pada tahun lalu dan kini ditambah baik itu berkisar mengenai permintaan untuk menjaga hati serta perasaan.

“Lagu kedua ini kesinambungan single pertama berjudul Alalala Sayang,” katanya bersyukur apabila single pertama meraih 11 juta tontonan di YouTube sejak Februari lalu.

Sementara itu, Kid berkata, mereka gembira apabila Azzara Band semakin dikenali dan berazam mahu menghasilkan lagu yang mampu memenuhi halwa telinga pendengar.

“Kami mahu membawakan muzik segar dan lebih penting peminat tidak kaget dengan lagu yang dipersembahkan,” katanya.

Bercerita lanjut penubuhan kumpulan itu, katanya, Azzara Band bermula pada 2010 dengan menerima undangan persembahan di majlis perkahwinan sekitar Lembah Klang dengan upah RM100 sehari.

“Kami jadikan pengalaman itu sebagai pemangkin semangat untuk berjaya. Tahun lalu, kami hasilkan single pertama berjudul Alahai Sayang dan mempertaruhkan nasib bertemu Harry Khalifah di MVM Music,” katanya.

Secara kebetulan katanya, Harry berada di syarikat rakaman berkenaan lalu ditunjukkan hasil ciptaan karya mereka.

“Alhamdulillah, Harry berminat dengan lagu ini dan menukar tajuk menjadi Alalala Sayang. Selepas menjalani ujian vokal, kami diterima sebagai artis,” katanya.

Menurutnya, mereka kini menjadikan Khalifah sebagai idola dan memasang impian untuk melayakkan diri ke Anugerah Juara Lagu (AJL) selain konsisten dalam industri hiburan tanah air.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 5:30 AM