KECANGGIHAN telefon pintar mudahkan kegiatan buli siber dalam kalangan pengguna media sosial.
KECANGGIHAN telefon pintar mudahkan kegiatan buli siber dalam kalangan pengguna media sosial.
Hidayatul Akmal Ahmad dan Nurul Hidayah Bahaudin
am@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Cipta akaun media sosial palsu menggunakan nama dan gambar orang lain bagi melakukan penyamaran memfitnah seseorang termasuk golongan selebriti.

Malah, ada antara pembuli sengaja membuat fitnah dan memburuk-burukkan orang lain melalui gambar atau memuat naik mesej di laman sosial seperti Facebook, Instagram dan blog.

Lebih memburukkan keadaan apabila ada individu memuat naik gambar atau video mangsa di laman web lucah.

Itu antara aduan yang diterima CyberSecurity Malaysia (CSM) daripada individu yang menjadi mangsa buli siber di media sosial.

Ketua Pegawai Eksekutif CSM, Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab berkata, sebanyak 137 aduan buli siber diterima menerusi Pusat Bantuan Cyber 999 bagi tempoh Januari hingga September lalu.

“Jumlah itu menurun berbanding 292 aduan diterima pada 2017 manakala 266 aduan bagi tempoh sama tahun lalu.

“Walaupun berlaku penurunan jumlah laporan, ia tidak bermakna kes buli siber berkurangan secara keseluruhan di negara ini.

“Isu itu antara ancaman siber yang perlu diberi perhatian semua pihak terutama pengguna media sosial supaya tidak menjadi mangsa dan pemangsa buli siber,” katanya.

Amirudin berkata, kes paling banyak diterima membabitkan penggunaan kata-kata kesat atau memalukan, ugutan di media sosial dan akaun palsu yang menyebabkan mangsa berusia 18 hingga 60 tahun membuat laporan.

Menurutnya, golongan pembuli terdiri daripada individu tandus nilai kemanusiaan, dorongan rasa tidak puas hati terhadap seseorang sama ada disebabkan perilaku, kemewahan dan penampilan selain perasaan ingin membalas dendam.

“Ada juga yang terpengaruh dengan perbuatan rakan supaya dapat diterima dan rasa bebas untuk memperkatakan apa sahaja.

“Mereka ini kurang mendapat perhatian keluarga dan kurang pengetahuan dalam nilai agama,” katanya.

Katanya, kebiasaannya individu yang kurang kemahiran dan pendidikan mengenai teknologi komunikasi maklumat (ICT) berpotensi menjadi mangsa buli siber.

“Ada individu terlalu mendedahkan maklumat diri seperti memuat naik gambar peribadi yang mencolok mata menyebabkan dia digunakan sebagai bahan untuk membuli.

“Selain itu, personaliti individu yang lemah, kurang berkeyakinan dan suka bersendirian menyebabkan dia menjadi mangsa,” katanya.

Menurutnya, mangsa buli siber dinasihatkan memberitahu kepada individu yang dikenali dan jangan membalas e-mel atau mesej diterima serta tidak memadamnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 November 2019 @ 10:00 AM