JASMIN selesai membuat laporan polis. FOTO/IG JASMIN HAMID
JASMIN selesai membuat laporan polis. FOTO/IG JASMIN HAMID
Georgie Joseph


TIDAK mahu anak angkatnya terus menjadi mangsa hinaan di Internet, pelakon Jasmin Hamid, 45, membuat laporan polis semalam dan tidak teragak-agak menyaman 15 individu yang menghina anaknya itu.

Sebelum ini, Jasmin meluahkan rasa terkilan terhadap tindakan netizen yang menghina anak angkat perempuannya berusia 30 tahun itu berwajah ‘bapok’.

Jasmin berkata, segala bukti mengenai penghinaan dan buli siber individu-individu itu turut disertakan dalam laporan yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya itu.

“Kepada netizen buli siber yang mencela anak perempuan saya, boleh tunggu saman daripada saya. Segala butiran buli siber sudah ada pada pihak polis.

“Ada lebih dari 15 nama dalam laporan polis yang akan diambil tindakan undang-undang atas tindakan mencela tidak berasas di Instagram dan Facebook saya serta di blog,” katanya.

Jasmin berkata, dia mengambil tindakan itu sebagai langkah perlindungan terhadap anaknya itu selain memegang amanat arwah ibu dan bapanya.

“Saya sebagai seorang ibu sudah pasti akan melindungi anak-anak saya dan mohon hak perlindungan daripada pihak berkuasa sebagai seorang warganegara Malaysia.

“Ini janji saya kepada arwah ibu dan bapa saya dan kepada Allah untuk menjaga keluarga hingga akhir hayat saya,” katanya.

Jasmin mengambil tindakan itu bagi memberikan iktibar kepada pembuli siber terutama yang suka meninggalkan komen tidak bertanggungjawab dan berunsur hinaan.

“Jika selama ini saya hanya abaikan dan sekat segala komen negatif, tapi kali ini saya bertegas mengambil tindakan pembuli siber yang tidak bertanggungjawab serta agresif melemparkan hinaan kepada anak perempuan saya tanpa sebab munasabah.

“Adakah anda tidak merasa takut mencela anak yatim? Saya tidak meminta duit sesiapapun untuk membesarkan anak saya. Saya harap tiada lagi nama-nama yang akan ditambah dalam senarai buli siber ini selepas ini. Moga ini boleh dijadikan iktibar buat pembuli siber sebelum memberi komen yang ada unsur negatif di laman sosial sesiapa saja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2019 @ 10:31 AM