FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Hafiz IIthnin


“SAYA tak sangka jawatan penting untuk jadi rakan serumah,” kata Ikhwan Sooaidi pemilik akaun twitter @ikhwansooadi.

Rabu lalu Ikhwan menciap perbualannya bersama individu yang mencari penyewa bilik di Putrajaya.

Antara perbualan yang dimuat naiknya ialah pertanyaan Ikhwan mengenai bilik kosong berkenaan dan jawapan yang diterima, bilik itu sudah disewa pegawai kerajaan gred 44.

Dalam ciapan menerusi Twitter, Ikhwan merasakan individu itu mendiskriminasi golongan gred tertentu memandangkan kebiasaan jawatan seseorang itu hanya membabitkan situasi ketika bekerja saja.

Ikhwan berkata, sepatutnya apabila seseorang itu berada pada kedudukan tinggi dalam organisasi dia perlu peka dengan orang bawahan dan bukan hanya ingin bergaul sesama mereka saja.

“Mungkin situasi yang saya alami segelintir saja kerana ada juga rakan sepejabat berjawatan tinggi tetapi tak pula bersikap sedemikian.

“Bagi saya mereka yang berjawatan tinggi perlu faham dengan golongan bawahan.

“Saya juga tak sangka gred juga memainkan peranan penting untuk menjadi rakan serumah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tangkap layar perbualan antara Ikhwan Sooaidi dengan lelaki terbabit. FOTO Ihsan Ikhwan Sooaidi
Tangkap layar perbualan antara Ikhwan Sooaidi dengan lelaki terbabit. FOTO Ihsan Ikhwan Sooaidi

Menurutnya, menerusi iklan yang dipaparkan dalam satu laman web untuk mencari bilik sewa, orang yang menawarkan sewaan itu tidak memaklumkan status gred diinginkan untuk menjadi rakan serumah.

“Jika encik kerja kerajaan gred 41 ke atas cuba hubungi kawan saya (nama dipadamkan).

“Manalah tahu rezeki encik, tetapi jangan menipu gred dan jawatan kerana dia boleh periksa,” balas individu yang mencari penyewa bilik.

Ikhwan membalasnya, tidak mengapa kerana dia tidak begitu bagus untuk berada dalam kumpulan gred 44 berkenaan.

Ikhwan yang sudah berkhidmat empat tahun sebagai kakitangan kerajaan berkata, rumah itu bukan kuarters kerajaan dan tidak mengetahui secara lanjut sama ada individu itu pemilik atau penyewa.

“Sebelum ini saya tinggal bersama rakan di sekitar Putrajaya. Bagaimanapun, pemilik kediaman ingin mengambil semula dan kami perlu keluar.

“Disebabkan itu, saya mencari bilik sewa di sekitar lokasi berkenaan. Saya tertarik dengan kemudahan yang ditawarkan dan tak sangka pula ia hanya untuk kumpulan jawatan tertentu saja.

“Perbualan saya dan dia tidak begitu panjang kerana saya tidak mahu manusia seperti itu dan terus menyekat nombornya,” katanya.

Sementara itu, usaha mendapatkan ulasan lanjut tidak berhasil apabila dia enggan mendedahkan nombor telefon pemilik rumah terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 September 2019 @ 8:00 PM