CHEE Ann tinggal di hutan tidak jauh dari rumah keluarganya sejak 25 tahun lalu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
CHEE Ann tinggal di hutan tidak jauh dari rumah keluarganya sejak 25 tahun lalu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Rohana Idris


SEORANG lelaki mengalami masalah mental tinggal di sebuah bangsal di dalam hutan di Kampung Dalam di Tumpat, sejak 25 tahun lalu.

Bangsal itu dibina keluarga untuk Lee Chee Ann, 38, di dalam hutan tidak jauh dari rumah keluarganya kerana enggan tinggal bersama tanpa sebab.

Ibunya, Yu Ah Pek, 56, berkata ketika berusia enam bulan, Chee Ann terbabit dalam kemalangan jalan raya sehingga mengakibatkan anaknya itu cedera di kepala.

Katanya, anak sulungnya itu mula ‘melarikan diri’ dan enggan tinggal bersama sebaik menjengah usia belasan tahun dan sejak itu kerap merayau di dalam hutan tidak jauh dari rumah mereka.

“Apabila kami memaksa tinggal bersama, dia akan mengamuk dan melarikan diri menyebabkan suami terpaksa membina sebuah bangsal dari bahan buangan di dalam hutan kira-kira 30 meter dari rumah kami.

“Sejak hari itu, bangsal dalam hutan itulah rumahnya dan setiap hari kami akan menjenguknya bagi memastikan tiada perkara buruk berlaku kepadanya

“Setiap hari saya akan membawakan makanan dan minuman. Kami sekeluarga sangat risaukan keadaannya jika ada haiwan berbisa di situ, namun setakat ini tiada perkara yang buruk berlaku,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

AH Pek bersama anaknya, Chee Ann. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
AH Pek bersama anaknya, Chee Ann. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Menurutnya, Chee Ann menerima bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 sebulan, manakala suaminya pula RM350 untuk skim warga emas.

“Wang itu digunakan sepenuhnya untuk perbelanjaan seharian mereka tiga beranak termasuk seorang lagi anaknya,” katanya.

Terdahulu, mereka dikunjungi badan bukan kerajaan (NGO) Kelab Kebajikan Cakna Kelantan (KKCK) yang diketuai presidennya, Pui Tiong Lam.

Sementara itu, Tiong Lam berkata, pihaknya sudah membantu dari segi agihan sumbangan makanan yang diberi secara bulanan termasuk beberapa bantuan asas yang lain.

“Sepatutnya Chee Ann menerima elaun bulanan sebanyak RM350 tapi terpaksa dipotong sebanyak RM100 disebabkan masih menggunakan kad pengenalan lama dan ia agak bermasalah untuk memperbaharuinya kerana dia akan melarikan diri apabila ternampak orang luar selain keluarga.

“Selain itu, kami juga akan cuba mencarikan kerja untuk anak bongsu Ah Pek yang berusia 24 tahun kerana buat masa kini dia mengikut bapanya mengambil upah memotong rumput dengan bayaran tidak seberapa,” katanya.

AH Pek di halaman bangsal anaknya, Chee Ann yang hidup terpencil di bangsal dalam hutan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
AH Pek di halaman bangsal anaknya, Chee Ann yang hidup terpencil di bangsal dalam hutan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 September 2019 @ 4:19 PM