MUHAMMAD Irfan Shauqi (kiri) yang dikesan menghidap diabetes bersama ahli keluarga.
MUHAMMAD Irfan Shauqi (kiri) yang dikesan menghidap diabetes bersama ahli keluarga.
Fairul Asmaini Mohd Pilus dan Mohd Hilmie Hussin


KUALA LUMPUR: Muhammad Irfan Shauqi Muhammad Rizal, 13, dilahirkan sihat dan periang, tidak pernah disangka akan menghidap diabetes seawal usia lapan tahun.

Ibunya, Siti Halijah Ismail, 46, berkata, anak bongsu daripada dua beradik itu membesar seperti kanak-kanak lain dan fizikal badannya berisi hinggalah ketika berusia lapan tahun, tiba-tiba kurus.

Siti Halijah yang bekerja sebagai pembantu makmal berkata, sebaik melihat perubahan fizikal anaknya, dia membawa Muhammad Irfan Shauki menjalani pemeriksaan di Hospital Serdang, Selangor.

“Dua minggu sebelum Irfan disahkan menghidap diabetes jenis 1, berat badannya turun mendadak hingga kurus.

“Soalan pertama doktor tanya, adakah saya dan keluarga mempunyai sejarah diabetes, saya katakan tidak,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, pengesahan doktor itu membuatkannya terkejut dengan keadaan anak lelakinya menghidap diabetes pada usia kanak-kanak, apa lagi menghidap diabetes jenis 1 iaitu pankreas rosak hingga gagal menghasilkan insulin.

“Saya kawal makan minum anak-anak sejak kecil, nak makan ais krim atau gula-gula semuanya saya kawal, sebab itu saya terkejut apabila dia disahkan diabetes.

“Adik-beradik saya semua kenal perangai saya dalam mengawal pemakanan anak-anak,” katanya lagi.

Kini, Muhammad Irfan Shauqi berusia 13 tahun dan bersekolah di SMK Bandar Tasik Puteri, Rawang.

Siti Halijah berkata, anaknya menyuntik sendiri insulin empat kali sehari dan sukatannya mengikut jumlah pemakanan yang diambil.

Tambahnya, dia bersyukur anaknya yang dirujuk ke Hospital UiTM Sungai Buloh menyertai pelbagai program termasuk kem pesakit diabetes yang mengajarnya mengira jumlah nutrisi makanan, sekali gus memudahkannya menentukan sukatan insulin yang perlu disuntik.

Katanya, dia pernah bertanya pihak hospital mengenai kos perubatan anaknya dan diberitahu membabitkan kira-kira RM300 untuk rawatan dua minggu.

Anggaran kos rawatan RM2,000 setahun

KUALA LUMPUR: Setiap pesakit diabetes memerlukan kos rawatan yang tinggi dengan anggaran lebih RM2,000 setahun bagi seorang pesakit.

Timbalan Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit Dr Feisul Idzwan Mustapha berkata, secara purata, kos rawatan bagi setiap pesakit diabetes selama setahun mencecah RM2,684.

“Kita di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak mempunyai data rasmi micro-costing untuk pesakit diabetes, namun anggaran kosnya sebegitu,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad.

Seorang pesakit diabetes memerlukan ubat-ubatan seperti insulin, pil, selain peralatan seperti jarum penyuntik insulin, pen suntikan, lancets, swab alkohol, pembalut dan kapas.

Begitupun, kos dinyatakan Dr Feisul itu belum mengambil kira pemakanan yang perlu diambil pesakit seperti oat, beras multigrain dan susu diabetik.

Sementara itu, Pakar Perunding Pediatrik Endokrinologi Private Specialist Centre UiTM, Doktor Noor Shafina Mohd Nor pula berkata, ramai pesakit diabetes di negara ini bernasib baik kerana kebanyakan kos rawatan ditanggung kerajaan.

Menurutnya, kos ubat-ubatan bagi setiap pesakit diabetes mencecah RM200 sebulan, manakala peralatan seperti peralatan menguji kandungan gula dalam darah, jarum dan sebagainya sekitar RM300 hingga 500 sebulan.

“Dari segi kos rawatan, kos paling tinggi adalah untuk menguji kandungan gula dalam darah kerana ia perlu dilakukan setiap hari,” katanya.

April lalu, Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata, kerajaan membiaya RM2.716 bilion setahun bagi kos rawatan diabetes, jantung dan kanser iaitu tiga penyakit utama dihidapi rakyat Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Ogos 2019 @ 5:40 AM