MUHYIDDIN (tengah) menyampaikan anugerah Khas Sambutan Hari Belia Negara 2020 kepada Ebit Lew pada majlis Sambutan Hari Belia Negara 2020, Persada Johor International Convention Centre, Johor Bahru. FOTO Zain Ahmed
MUHYIDDIN (tengah) menyampaikan anugerah Khas Sambutan Hari Belia Negara 2020 kepada Ebit Lew pada majlis Sambutan Hari Belia Negara 2020, Persada Johor International Convention Centre, Johor Bahru. FOTO Zain Ahmed
Omar Ahmad

PENDAKWAH bebas dan sukarelawan, Ebit Liew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Liew, 36 menerima Anugerah Khas Hari Belia Negara 2020.

Anugerah disampaikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena Sambutan Hari Belia Negara 2020 di Pusat Konvensyen Antarabangsa (Persada), Johor Bahru, hari ini.

Menurut Ebit, sumbangannya kepada golongan belia adalah kecil namun menghargai anugerah yang diterima.

"Alhamdulillah saya rasa bahagia, bersyukur dan gembira dapat jumpa Perdana Menteri sendiri, sebelum ini asyik tengok di kaca televisyen sahaja.

"Saya sedar apa yang saya lakukan adalah sumbangan kecil. Saya sedar saya tidak layak kerana lebih ramai yang berkorban serta berjuang. Saya hanya usaha kecil dalam kalangan orang ramai. Tetapi saya sangat bersyukur dapat bersama dengan anak muda pada hari ini," katanya.

Menurutnya, anak muda harus diwariskan dengan perkara baik, bimbingan, doa dan menggalakkan mereka membuat kebaikan.

"Nasihat kepada golongan belia kena berjuang niat kerana Allah, dan tanamkan keikhlasan. Ia tidak akan berhenti bila diri dihargai, dipuji atau dikeji, disukai atau tidak kita akan terus buat baik sehingga kita bertemu dengan Allah dan reda," katanya yang membawa pulang hadiah trofi serta wang tunai bernilai RM10,000.

Sementara itu, Norfarrah Syahirah Shaari, 32, dipilih salah seorang daripada enam penerima Anugerah Wira Belia Covid-19 iaitu anugerah julung kali diwujudkan.

Norfarrah Syahirah yang juga orang kurang upaya (OKU) menjahit pakaian perlindungan diri (PPE) menggunakan kaki kerana tidak mempunyai tangan.

"Saya tidak jangka terpilih menerima anugerah ini. Saya menyediakan PPE menggunakan kaki dalam program anjuran Kolej Komuniti Teluk Intan, Perak dapat menyiapkan 332 pasang dengan bantuan peserta lain.

"Cabaran itu saya tidak rasa susah sebab sudah biasa jahit menggunakan kaki. Saya ada kemahiran menjahit yang dipelajari daripada ibu maka saya gunakannya untuk menyumbang kepada barisan hadapan ketika negara dilanda wabak Covid-19," katanya yang bertugas sebagai Pembantu Tadbir di Kolej Komuniti Teluk Intan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2020 @ 7:39 PM