HAMIDIN Mohd Amin.
HAMIDIN Mohd Amin.
Manan Samad dan Firdaus Hashim dan Syazwan Msar


KUALA LUMPUR: Kalendar bola sepak negara pada tahun depan pasti akan lebih berseri selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bercadang menganjurkan semula saingan Pestabola Merdeka yang sebelum ini ‘hilang’ selama enam tahun selepas kali terakhir diadakan pada 2013.

Malah, bagi memastikan kualiti dan mutu kejohanan paling tertua di benua Asia itu mendapat perhatian ramai, kemungkinan pasukan di ranking ke-90 dunia ke bawah bakal menjadi sasaran FAM apabila ia dianjurkan semula.

Menurut Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, beliau optimis skuad Harimau Malaya yang kini berada di ranking ke-159, tetapi mampu memberi cabaran dengan pasukan di ranking lebih baik seperti Republik Kyrgyz (95 dunia) dan Vietnam (96 dunia).

“Saya memang suka nak buat semula Pestabola Merdeka, tapi saya gagal tahun ini. Terlalu banyak kekangan untuk diadakan antaranya sebab kalendar FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) yang padat.

“Bola sepak sekarang dah tak sama macam zaman dulu. Sekarang sukar untuk kita adakan kejohanan antarabangsa di luar kalendar rehat FIFA kerana liga domestik (termasuk Liga Malaysia dan negara luar) sedang berjalan dan kelab pun bijak takkan lepaskan pemain mereka.

“Tapi, tahun depan kita akan cuba buat dan sasaran pasukan yang dipanggil biarlah ada kuat sikit daripada kita. Sebenarnya Vietnam pun kita boleh beri tentangan walaupun ranking mereka tinggi pada kedudukan 96 ketika ini.

“Saya kalau boleh nak jumpa Vietnam balik. Saya kira pasukan di ranking 90 lebih hingga 130 dunia kita boleh jemput dan ia baik untuk ranking Malaysia kalau kita boleh menang menentang mereka,” katanya ketika ditemui pada sesi temuramah khas di Wisma FAM, Kelana Jaya, baru-baru ini.

Memegang status sebagai kejohanan tertua Asia mengatasi Piala Raja Thailand dan Piala Korea Selatan, Pestabola Merdeka adalah kejohanan jemputan yang mula membuka tirainya pada 1957.

Kejohanan berprestij itu diadakan bertujuan meraikan ulang tahun kemerdekaan Malaysia dan meskipun dijadikan acara tahunan, ia pernah tidak dilangsungkan untuk beberapa edisi atas faktor yang tidak dapat dielakkan.

Edisi pertama Pestabola Merdeka diadakan pada Ogos dan September 1957 yang menyaksikan Pilihan Liga Hong Kong menjuarai kejuaraan sulung itu sebelum Korea Selatan dan Jepun turut mewarnai saingan itu sehingga 1980-an.

Bagaimanapun, Malaysia menunjukkan taring sebagai tuan rumah apabila menjuarai 10 edisi termasuk dua yang dimenangi skuad Bawah 23 tahun negara (B-23) diikuti Korea Selatan, Myanmar dan Indonesia.

Malah, Pestabola Merdeka turut bersifat ‘universal’ yang menyaksikan ia dirangkul pasukan dari luar benua Asia seperti Pilihan Buenos Aires, Pasukan Olimpik Czechoslovakia, Hamburger SV dan SK Admira Wacker.

“Orang nak taja ada, tapi halangan utama adalah mencari tarikh sesuai saja. Kalau saya tangguhkan liga pada Ogos atau September, saya perlu bincang dengan TMJ (Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku Pengerusi Liga M).

“Apapun, saya nampak sama ada bulan Januari atau Disember, tapi kena bincang betul-betul sebelum boleh umumkan nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2019 @ 5:30 AM