AZMAN (kanan) cuba melepasi kawalan pemain Thailand ketika Pestabola Merdeka ke-34 pada 1993 yang berkesudahan seri 1-1. FOTO ARKIB NSTP
AZMAN (kanan) cuba melepasi kawalan pemain Thailand ketika Pestabola Merdeka ke-34 pada 1993 yang berkesudahan seri 1-1. FOTO ARKIB NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pestabola Merdeka bakal mengimbau kembali 'kenangan terindah' zaman kegemilangan arena bola sepak negara yang pernah menumbangkan pasukan gergasi Asia seperti Korea Selatan.

Bekas pemain kebangsaan, Azman Adnan berkata, penganjuran Pestabola Merdeka ketika ini boleh menarik minat pasukan berada di ranking lebih baik untuk menyertainya terutama selepas Malaysia layak ke Piala Asia 2023.

Azman antara watak penting menyumbang dua gol ketika Malaysia menumpaskan Korea Selatan 3-1 pada Pestabola Merdeka 1993 dan sudah pasti mengharapkan kejohanan itu dihidupkan demi dalam meningkatkan prestasi pasukan kebangsaan kelak.

"Pestabola Merdeka ada nostalgia tersendiri kerana dahulu menghimpunkan pasukan terbaik dan masing-masing mahu memenangi kejohanan terbabit.

"Ketika itu, ramai penyokong bola sepak tanah air hadir ke stadium dan kemenangan di kejohanan itu cukup bermakna kerana sempena Hari Kemerdekaan negara.

"Jika kejohanan itu diadakan kembali, saya berharap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dapat menjemput pasukan yang hebat dalam usaha mempersiapkan pasukan ke Piala Asia 2023," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan FAM tidak menolak kemungkinan menganjurkan semula Pestabola Merdeka sebagai sebahagian daripada usaha mempersiapkan pasukan Harimau Malaya menghadapi kempen Piala Asia 2023.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM, Mohd Firdaus Mohamed berkata, pihaknya akan membentangkan perkara itu kepada Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dalam tempoh terdekat.

Katanya, penganjuran kejohanan seperti Pestabola Merdeka mempunyai aura tersendiri dan diyakini mampu meningkatkan lagi momentum skuad bimbingan Kim Pan-gon berbanding aksi persahabatan.

Pestabola Merdeka yang mula dianjurkan pada 1957 pernah menarik minat pasukan terbaik di benua Asia seperti Korea Selatan serta kelab terkemuka Eropah dan Amerika Selatan.

Sepanjang penganjurannya, Malaysia muncul juara sebanyak 10 kali dengan kali terakhir pada 2013 yang juga kali terakhir kejohanan itu dianjurkan.

Harimau Malaya mengesahkan slot ke Piala Asia 2023, sekali gus menamatkan penantian selama 43 tahun selepas melakar kemenangan 4-1 ke atas Bangladesh dalam aksi terakhir Kumpulan E peringkat kelayakan, 14 Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Jun 2022 @ 2:52 PM