AKSI Dion Cools (kanan) pada perlawanan Pestabola Merdeka 2023 bertemu India di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. FOTO AHMAD UKASYAH
AKSI Dion Cools (kanan) pada perlawanan Pestabola Merdeka 2023 bertemu India di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. FOTO AHMAD UKASYAH
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Status penganjuran Pestabola Merdeka pada tahun ini masih menjadi tanya sama ada ia bakal diteruskan atau ditunda pada tahun depan.

Hal ini kerana, menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Mohd Firdaus Mohamed, status penganjuran kejohanan yang mula diperkenalkan pada 31 Ogos 1957 itu hanya diketahui berdasarkan kepada keputusan skuad Harimau Malaya pada baki perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Beliau berkata, jadual membabitkan skuad kendalian Kim Pan-gon pada musim ini boleh dikatakan agak padat menyebabkan penganjuran kejohanan terbabit mungkin terpaksa ditunda kepada tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Katanya, penganjuran Pestabola Merdeka tidak berkubur kerana kejohanan itu mendapat maklum balas positif daripada pelbagai pihak selain turut menghangatkan lagi kalendar bola sepak tanah air.

"Saya sudah mengadakan perbincangan bersama Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman dan kemungkinan Pestabola Merdeka diadakan bergantung kepada keputusan skuad Harimau Malaya dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

"Jadual skuad Harimau Malaya pada tahun ini cukup padat kerana turut akan mengharungi kejohanan Piala AFF menyebabkan kita kena melihat kembali penganjuran Pestabola Merdeka," katanya.

Mengikut rekod, selepas hampir 10 tahun Pestabola Merdeka 'menyepi', kejohanan terbabit kembali menemui penyokong bola sepak tanah air pada tahun lalu.

Pada penganjuran tahun lalu menyaksikan Tajikistan yang kali pertama menyertai Pestabola Merdeka berjaya bergelar juara selepas menundukkan Malaysia 2-0.

Untuk rekod, Malaysia menjulang trofi kemenangan 10 kali sejak 1958, muncul naib juara lapan kali dan berkongsi juara dua kali dengan Korea Selatan pada (1960 dan 1979), manakala Korea Selatan memenangi tujuh kali.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2024 @ 1:16 PM