MOHD Firdaus Mohamed. -FOTO NSTP
MOHD Firdaus Mohamed. -FOTO NSTP
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak menolak untuk menganjurkan semula Pestabola Merdeka sebagai sebahagian daripada usaha mempersiapkan pasukan Harimau Malaya menghadapi kempen Piala Asia 2023.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM, Mohd Firdaus Mohamed berkata, pihaknya sememangnya akan membentangkan perkara itu kepada Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dalam tempoh terdekat.

Katanya, penganjuran kejohanan seperti Pestabola Merdeka mempunyai aura tersendiri dan diyakini mampu meningkatkan lagi momentum skuad bimbingan Kim Pan-gon berbanding aksi persahabatan.

"Sebenarnya perancangan untuk menganjurkan semula Pestabola Merdeka sudah lama difikirkan tetapi ia terhenti seketika kerana pandemik Covid-19 selama dua tahun.

"Tapi selepas ini ia akan dibincangkan semula bersama Presiden sebab kita mahu momentum skuad negara yang layak ke Piala Asia dapat diteruskan. Maka di situ memang ada keperluan untuk mengembalikan semula penganjuran Pestabola Merdeka.

"Saya fikir aksi persahabatan sahaja tidak mencukupi kerana aura pertandingan adalah lebih baik buat skuad negara sebelum beraksi di Piala Asia," katanya ketika dihubungi.

Jelas Firdaus, penganjuran kejohanan itu tidak semestinya berlangsung pada Ogos seperti kebiasaannya kerana pihaknya perlu menyusun segala perancangan dengan teliti.

"Sebab ia membabitkan pasukan luar, jadi kita kena lihat komitmen pasukan yang ingin kita jemput dan semua ini mengambil masa.

"Selepas itu pasukan yang akan dijemput nanti kalau boleh berada di ranking lebih baik berbanding skuad negara dan dari situ kita boleh mendapatkan perlawanan kompetitif sebelum beraksi di Piala Asia," katanya.

Pestabola Merdeka yang mula dianjurkan pada 1957 pernah menarik minat pasukan terbaik di benua Asia seperti Korea Selatan serta kelab-kelab terkemuka Eropah dan Amerika Selatan.

Sepanjang penganjurannya, Malaysia muncul juara sebanyak 10 kali dengan kali terakhir pada 2013 yang juga kali terakhir kejohanan itu dianjurkan.

Harimau Malaya mengesahkan slot ke Piala Asia 2023 sekali gus menamatkan penantian selama 43 tahun selepas melakar kemenangan 4-1 ke atas Bangladesh dalam aksi terakhir Kumpulan E, 14 Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Jun 2022 @ 2:52 PM