KIM Pan-gon. FOTO Genes Gulitah
KIM Pan-gon. FOTO Genes Gulitah
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Siapakah lawan skuad Harimau Malaya di saingan Pestabola Merdeka tahun ini terletak di tangan pengendali negara, Kim Pan-gon untuk memilih negara mana yang mahu ditemuinya nanti.

Perkara itu dikongsi Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman yang mengesahkan badan induk itu belum lagi menjemput mana-mana pasukan untuk menyertai kejohanan itu.

Katanya, Pestabola Merdeka tetap akan dianjurkan namun senarai lawan yang bakal ditentang terpulang kepada Pan-gon biarpun pasukan kebangsaan India dikhabarkan bersedia sertai kejohanan itu.

"Itu mereka (India) yang setuju tapi FAM belum sahkan lagi. Kita memang terbuka, tapi untuk perkara ini kita serahkan kepada ketua jurulatih sebab beliau pastinya mempunyai kriteria-kriteria yang dimahukan untuk pasukan lawan," katanya.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM, Mohd Firdaus Mohamed menjangkakan satu pasukan Asia Barat dan dua pasukan dari Asean akan melengkapkan empat pasukan bertanding dalam saingan Pestabola Merdeka yang dijadual pada Oktober ini.

Antara pasukan Asia Barat yang berada dalam radar antaranya Syria dan Palestin, di mana masing-masing menghuni tangga ke-90 dan 93 dunia dalam ranking Fifa.

Manakala dua lagi pasukan serantau yang berada pada kedudukan ranking lebih tinggi daripada skuad Harimau Malaya (145 dunia) iaitu Vietnam (96 dunia) dan Thailand (111 dunia) adalah sasaran badan induk tempatan itu.

Tiga calon pasukan itu mampu menyemarakkan semula saingan Pestabola Merdeka yang kali terakhir dianjurkan pada 2013 lalu.

Untuk rekod, Pestabola Merdeka sudah dianjurkan sebanyak 41 kali sejak 1957, dengan Malaysia muncul pasukan paling berjaya dengan 10 kejuaraan diikuti Korea Selatan tujuh kali dan Myanmar empat kali.

Dalam pada itu, Noor Azman menjelaskan lawan skuad Harimau Malaya pada jendela aksi antarabangsa pada hujung bulan depan masih belum dimuktamadkan lagi.

"Kita belum muktamadkan lagi termasuk venue kerana perkara itu masih dalam peringkat perbincangan lagi dan akan masuk dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pasukan Kebangsaan dan kita akan umumkan pada awal bulan Mac.

"Mengenai pasukan lawan pula apa yang saya boleh katakan pasukan itu okaylah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Februari 2023 @ 3:47 PM