PEMAIN Harimau Malaya tampil pada kejohanan Pestabola Merdeka Mac depan. FOTO Iqmal Haqim Rosman
PEMAIN Harimau Malaya tampil pada kejohanan Pestabola Merdeka Mac depan. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Syafiq Aznan


KUALA LUMPUR: Khidmat pasukan senior kebangsaan akan ditagih oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas badan induk itu membuat keputusan untuk menghantar pasukan utama ke saingan Pestabola Merdeka, Mac depan.

Meskipun edisi terakhir membabitkan penyertaan skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam mengesahkan pasukan senior akan diberi peluang untuk 'mengasah' taring pada kejohanan tertua benua Asia itu.

"Kita akan ada dua panggilan untuk latihan pusat kebangsaan pada Mac nanti iaitu membabitkan skuad senior dan skuad B-23. Masing-masing ada tanggungjawab mereka yang tersendiri.

"Bagaimanapun, kita tidak boleh menghantar skuad B-23 kerana mereka terikat dengan komitmen untuk menghadapi pusingan Kelayakan Kejuaraan B-23 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2020 yang berlangsung di sini.

"Justeru, kita akan menghantar pasukan senior ke saingan Pestabola Merdeka," katanya.

Bagi pusingan Kelayakan Kejuaraan B-23 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2020, skuad B-23 bimbingan Datuk Ong Kim Swee diundi dalam Kumpulan J bersama China, Laos dan Filipina.

Sebagai rekod, selepas lima tahun, kejohanan terbabit kembali diadakan pada tahun ini yang menyaksikan edisi terakhir dimenangi skuad B-23 negara selepas menundukkan skuad B-23 Myanmar dengan keputusan 2-0.

Malaysia muncul pasukan paling banyak menjadi juara dengan lapan gelaran diikuti Korea Selatan (5) dan Myanmar (3).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Disember 2018 @ 5:16 PM