KAMAL ADLI
KAMAL ADLI
Norhayati Nordin


Meskipun cinta bahagia tidak berpihak padanya, pelakon Kamal Adli tetap hebat pada mata penonton dengan lakonan mantapnya.

Gandingkan saja Kamal, 33, dengan rakan pelakon wanita lama atau baharu, penonton pasti takkan dihampakan dengan lakonan menghiburkan dan menarik.

Apa yang pasti, kini Kamal atau nama sebenar Ahmad Kamal Ahmad Adli meledak dengan dua drama serentak lakonannya iaitu Setelah Terlafaznya Akad siaran Astro dan Utusan Cinta Buat Adam (TV3).

Bagi drama Setelah Terlafaznya Akad, Kamal berganding dengan Uqasha Senrose, manakala Utusan Cinta Buat Adam yang mengisi slot Akasia menyaksikan dia berpasangan dengan Puteri Aishah.

Mengakui sibuk dengan karier seni yang menjadi fokus utamanya, Kamal berkata, dia sangat bersyukur kerana masih dipilih sebagai hero dalam drama.

“Saya sentiasa komited dan berusaha memberi persembahan terbaik apatah lagi mendapat karya yang bagus serta gandingan mantap rakan pelakon lain.

‘Sekarang, saya benar-benar seronok dan selesa menumpukan sepenuh perhatian kepada karier saja. Tidak perlu lagi asyik jawab pertanyaan kisah cinta yang tidak tahu hala tujunya.

“Bagi saya, kembali menjalani kehidupan solo tanpa kekasih lebih menenangkan. Hanya perlu fokuskan keluarga dan bina kerjaya.

“Saya juga gembira dengan maklum balas penonton yang kebanyakannya begitu suka lakonan saya. Ia sangat memberi kepuasan dan rasa syukur tidak terhingga kepada Allah SWT,” ujarnya.

Bakat seni Kamal yang boleh dilabel ‘serba boleh’ ini nyata banyak membantunya untuk kekal bertahan meskipun harus bersaing dengan ramai bakat baharu yang tidak kurang hebatnya.

“Saya anggap selagi kemunculan di televisyen sama ada dalam drama atau program TV diterima baik masyarakat, ia rezeki yang perlu dijaga. Kena lebih bersungguh dalam kerja.


“Dan kerana itu saya kena lebih memilih tawaran yang datang. Saya akan pastikan jalan ceritanya bagus, watak sesuai serta gandingan rakan pelakon yang komited dan boleh bekerjasama dengan baik.

“Soal pengarah, saya sentiasa sedia bekerjasama dengan penggiat berpengalaman atau orang baharu yang teruja mencuba dan mahu berkongsi ilmu,” katanya.

Enggan dilabel pelakon ‘diva’, anak ketiga daripada tujuh beradik yang lahir di Pahang ini berkata dia sentiasa memastikan menjalin hubungan baik dengan penggiat seni lain dan kru produksi.

Ujarnya, dalam kehidupan ini tidak perlu begitu mendongak ke langit apabila mendapat sedikit kejayaan. Lebih baik terus bersikap rendah diri dan menghormati orang lain.

Mahu Fokus Karya Aksi

Selain aktif dan laris berlakon drama, Kamal juga masih mendapat peluang membintangi filem. Terbaharu, dia akan ke set penggambaran filem berjudul Escape.

Filem aksi itu akan mendapat sentuhan pengarah baharu iaitu Ikhwan dan Kamal turut bergandingan di samping penyanyi serta pelakon Elizabeth Tan.

Berkongsi mengenai filem itu, Kamal akui teruja kerana menjadi hasratnya untuk beraksi dalam karya genre aksi.

“Saya memang sukakan genre aksi tetapi kebanyakan tawaran berlakon yang saya terima menjurus watak komedi romantis, drama, permainan emosi dan serius.

“Genre aksi, saya jarang dapat tawaran. Jadi, apabila dapat kepercayaan itu, saya tekad mahu membuktikan kemampuan diri,” katanya.

Dijangka penggambaran bermula hujung bulan ini, Kamal kini fokus menyiapkan penggambaran drama Utusan Cinta Buat Adam sebanyak 28 episod.

Berbicara lanjut mengenai drama itu, Kamal berkata, dia diberi tanggungjawab menjiwai watak berat.

Ujarnya, ia karya serius dan banyak konflik selain percintaan.

Mengenai drama Setelah Terlafaznya Akad, Kamal berkongsi, dia selesa dan serasi berlakon dengan Uqasha kerana watak mereka komedi romantis yang menghiburkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Julai 2019 @ 5:30 AM