UQASHA sentiasa cari cara untuk beri kelainan dalam setiap peranan dipertanggungjawabkan.
UQASHA sentiasa cari cara untuk beri kelainan dalam setiap peranan dipertanggungjawabkan.
Najiy Jefri


HAMPIR 10 tahun mencanai bakat dalam industri seni lakon, aktres Uqasha Senrose kini antara bunga yang sedang mekar dalam lapangan seni lakonan.

Namanya sering menjadi perhatian umum dan meraih kepercayaan daripada pihak produksi dan stesen televisyen.

Malah kehadirannya sebagai pelakon turut dipuji apabila cara lakonannya dikatakan semakin baik hingga mendapat pujian ramai.

Memulakan kerjaya seni lakon menerusi filem sulung berjudul Paku Pontianak pada 2013, Uqasha mengakui masih perlu belajar dan memperbaiki teknik lakonan dari semasa ke semasa.

"Pujian hanya akan melalaikan saya, namun terima kasih kepada individu yang lihat perubahan dalam diri ini.

"Sehingga kini, saya masih cuba perbaiki diri menjadi lebih baik. Tiada pelakon yang bermula dengan sempurna tanpa diberi peluang.

"Awal-awal berlakon memang tidak akan terus mahir, tapi alhamdulillah guru saya adalah pengalaman. Berkat tawaran yang diterima saya cuba mencari cara untuk memberi kelainan dalam setiap watak diberikan.

"Saya juga selalu menonton drama dan filem tempatan serta luar negara. Saya perlu gigih untuk menjadi pelakon yang terbaik," katanya.

Tiada istilah main-main dalam setiap tawaran yang dilakonkan, wanita berusia 28 tahun itu sentiasa optimis dan serius untuk membawakan apa saja karakter.

"Saya memang serius dengan kerjaya lakonan daripada dulu. Sejak diberi peranan utama dalam Paku Pontianak, saya sudah nekad untuk mengasah bakat.

"Jujur saya suka terbabit dalam telefilem atau drama bersiri yang tidak panjang. Bagaimanapun, rezeki yang bakal datang bulan depan saya perlu menjayakan drama bersiri 40 episod. Harapnya, saya dapat lakonkan karakter itu dengan baik dan memuaskan hati ramai pihak," katanya.

UQASHA kini hangat digosipkan bercinta dengan Kamal.
UQASHA kini hangat digosipkan bercinta dengan Kamal.

Perempuan Tanpa Dosa

Siapa sangka, keserasian gandingannya bersama Kamal Adli dalam drama Setelah Terlafaznya Akad membuatkan peminat ingin melihat mereka 'disatukan' semula.

Terbaharu, Uqasha dan Kamal beraksi dalam drama berjudul Perempuan Tanpa Dosa yang kini sudah menemui penonton di slot MegaDrama Astro Ria.

"Saya akui ramai yang ingin melihat semula gandingan saya dan Kamal dalam sebuah drama romantik.

"Namun kali ini gandingan kami bukan berkisar cinta semata-mata, tapi perlu membawakan sebuah naskhah yang berat dan tidak seperti drama sebelum ini.

"Perempuan Tanpa Dosa mengisahkan seorang wanita jahil bernama Lily Haryani yang kurang didikan agama. Bapanya, Datuk Majid turut membencinya kerana kelahiran Lily menyebabkan isterinya meninggal dunia.

"Watak Lily menuntut emosi yang sangat mendalam. Saya tak pernah bawa watak seberat ini, namun saya cuba terjemahkan ia (karakter) dengan sebaik mungkin," katanya.

Kata Uqasha, menerusi gandingannya bersama Kamal tiada babak cinta yang romantis seperti drama terdahulu.

"Saya dan Kamal tiada kisah cinta dalam drama ini. Kamal yang membawa watak sebagai Rizal terpaksa berkahwin dengan saya yang ketika itu hamil anak luar nikah.

"Bagaimanapun, kehidupan selepas berkahwin itu akan membawa penonton melihat banyak babak aksi menarik dan pengajaran yang boleh diambil," katanya.

Pilih kunci mulut

Biarpun kini hangat digosipkan bercinta dengan Kamal, Uqasha enggan membuka mulut mengenai kisah cinta itu.

Uqasha berkata, dia hanya akan berkongsi kisah peribadinya pada masa yang tepat.

"Soal jodoh, ajal, maut itu semua di tangan Tuhan. Cepat atau lambat, Dia saja yang tahu. Ada orang berkawan hari ini, esok sudah berkahwin kerana sudah sampai waktunya.

"Begitu juga dengan sesetengah individu yang ingin mengenali hati budi dulu selepas melalui macam-macam fasa dalam hidupnya. Ia terpulang kepada pendirian masing-masing.

"Macam saya, biarlah kisah cinta kekal menjadi rahsia. Bila betul-betul jadi kahwin dengan individu yang tepat baru saya akan kongsi," katanya.

Menurut Uqasha lagi, dia tidak mahu terlalu menghebahkan kisah peribadinya kepada umum selepas melalui pelbagai pengalaman dalam hidup.

"Saya banyak belajar daripada pengalaman. Kalau tiada pengalaman, saya tidak mungkin mampu menjadi seorang yang lebih baik.

"Jadi sebagai manusia kita perlu berwaspada dalam setiap apa yang dilakukan. Jangan ulangi perkara dan kesilapan sama termasuk pilih dengan siapa kita patut berkawan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Oktober 2020 @ 6:00 AM