KAMAL akui kesilapan lalu apabila asyik fokus bercinta dan tidak kisah sangat mengenai karier.
KAMAL akui kesilapan lalu apabila asyik fokus bercinta dan tidak kisah sangat mengenai karier.
Oleh Ardini Sophia Sina


SEPANJANG 10 tahun bergiat dalam dunia seni, hati pelakon Kamal Adli sentiasa berbunga kerana cinta. Kini, hampir setahun menyendiri, jejaka itu nekad untuk hanya fokus pada karier.

Sering gagal dalam percintaan, Kamal bukanlah menutup pintu hati dan tidak memikirkan perkahwinan, namun dia enggan terkejar-kejar seperti sebelum ini.

Menikmati hidup solo tanpa teman wanita, Kamal berkata biarlah jodoh itu datang dengan sendirinya. Hari-hari yang dilaluinya kini lebih tenang tanpa perlu memikirkan perkara itu.

Kembali menjadi sebutan selepas membintangi drama Setelah Terlafaznya Akad, Kamal menafikan kesibukannya menjadi punca dia tidak mahu terburu-buru mendirikan rumah tangga.

“Apabila bercakap soal hati, buat masa ini belum ada yang mengisi kekosongan. Kali ini, saya tidak mahu terlalu terkejar-kejar seperti dulu.

“Saya bukanlah mahu hidup solo, tetapi biarlah kali ini cinta dengan kerjaya bergerak seiring. Dulu, saya fokus bercinta dan tidak kisah sangat pasal karier. Saya mengaku itu silap saya.

“Sejak saya masuk industri, saya tidak pernah solo. Tidak sempat lakukan sesuatu untuk diri sendiri tetapi sekarang saya gunakan kesempatan ini untuk fokus pada kerja,” katanya.

Tampil cemerlang menerusi watak Hanan dalam drama Setelah Terlafaznya Akad pada Jun lalu, ramai peminat berharap Kamal kembali bergandingan dengan Uqasha Senrose.

Bagi Kamal, dia tidak ada masalah bekerjasama sekali lagi dengan Uqasha apatah lagi mereka sudah serasi dan faham perangai masing-masing.

Namun begitu, kata Kamal, pemilihan projek itu perlu dilakukan penuh hati-hati bimbang ia sekadar naskhah tangkap muat. Dia juga tidak mahu karya lakonan mereka sama seperti drama sebelum ini.

“Kalau ada permintaan daripada penerbit atau pengarah untuk menggandingkan kami semula, saya tidak ada masalah pun sebab memang senang kerja dengan Uqasha. Namun, kena pilih dengan teliti.

“Saya tidak mahu main ambil saja hanya semata-mata orang mahu melihat gandingan kami. Biarlah watak seterusnya berbeza dengan apa yang sudah kami lakonkan dalam drama terdahulu,” katanya.

Nama Kamal mulai dikenali selepas membintangi drama Bio-Nik diikuti siri Zati dan Si Mawas. Pada 2010, Kamal kemudian diberikan peluang membintangi filem Niyang Rapik.

KAMAL tampil cemerlang menerusi watak Hanan dalam drama Setelah Terlafaznya Akad.
KAMAL tampil cemerlang menerusi watak Hanan dalam drama Setelah Terlafaznya Akad.

Perjalanan seni Kamal ada turun dan naiknya. Oleh itu, Kamal mempunyai resipi tersendiri untuk terus kekal dalam dunia hiburan. Dia bukan hanya boleh berlakon tetapi juga berbakat sebagai pengacara dan mempunyai sisi komedi.

Bukan mengejar populariti, Kamal sekadar ingin menunjukkan kebolehannya dalam pelbagai cabang seni. Bagaimanapun, dia menolak untuk mencuba nasib sebagai penyanyi.

“Selepas menang juara Super Spontan, memang ada tawaran untuk projek di saluran Astro Warna sebab mereka nampak saya boleh buat komedi. Saya buat dalam tempoh tertentu kemudian rehat sekejap.

“Selepas itu saya kembali kepada drama. Saya buat begitu kerana tidak mahu penonton asyik lihat saya bawa watak yang sama. Sebab itulah saya buat komedi dan pengacaraan untuk mewarnai lagi kerjaya.

“Saya pelakon yang berada di tengah-tengah. Saya lihat rakan seperjuangan berada di atas kemudian turun. Syukur kerana saya masih ada di sini. Kalau ikutkan, artis sebaris dengan saya ialah Zul Ariffin dan Remy Ishak, yang lain, semua budak baharu,” katanya.

Walaupun sudah lama dalam industri, kebimbangan tetap ada. Bukan risau kehadirannya digantikan pelakon baharu, tetapi tidak mahu dilihat dengan karakter sama.

Bagaimanapun, Kamal sedar, industri di Malaysia kecil dan jalan cerita juga sama. Dia tetap bersyukur diberikan peluang dan rezeki untuk terus berada dalam dunia seni.

“Tidak dinafikan, kebanyakan jalan cerita drama ditayangkan adalah sama. Bagaimanapun, saya tetap bersyukur kerana diberikan peluang membintangi drama yang disiarkan pada waktu perdana.

“Bagi mengelak penonton bosan asyik bawakan watak sama, saya selitkan dengan pengacaraan dan berlakon dalam cerita komedi. Namun, menyanyi saya tidak mahu. Bukan apa, saya tidak ada keyakinan menyanyi depan orang ramai. Biarlah orang berpengalaman yang hiburkan, saya tidak mahu ,” katanya.

TRIVIA

- Anak ketiga daripada tujuh beradik

- Berkelulusan dalam bidang penyiaran dari Institut Media Integratif Malaysia (MIIM: Akademi TV3)

- Juara Hero Remaja 2007/2008

- Pernah bercinta dengan Intan Ladyana dan Emma Maembong

- Pertama kali berlakon menerusi watak kecil dalam Renjis musim dua

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Oktober 2019 @ 5:30 AM