JULIA  berdarah kacukan Melayu-Itali.
JULIA berdarah kacukan Melayu-Itali.
Ramlah Zainal


Lebih tiga tahun menceburi dunia lakonan, ramai mula buka mata dengan bakat Julia Farhana Marin.

Semuanya kerana lakonan mantapnya sebagai Anna dan Maria dalam drama bersiri 10 episod, Salon arahan Kabir Bhatia yang bersiaran di stesen ntv7 serta saluran Viu, tahun lalu.

Bukan saja menjadi buruan ramai pengarah drama dan filem tempatan, bakat lakonan pelakon berdarah kacukan Melayu-Itali ini juga mendapat perhatian di peringkat antarabangsa.

Secara peribadi, Julia, 26, mengakui drama Salon turut menyerlahkan namanya dan potensi sebenar dalam bidang lakonan.

“Saya anggap tawaran berlakon dalam drama Salon sebagai peluang keemasan kerana kerjasama dengan saluran Viu sesuatu yang baru di sini.

“Tayangan Salon sudah berakhir di ntv7 tahun lalu tetapi masih disiarkan di saluran Viu ketika ini.

“Bukan saja nama mula dikenali di Singapura, saya juga mendapat tawaran berlakon dari India dan Hong Kong termasuk untuk saluran antarabangsa Netflix,” katanya.

Bukan saja tawaran berlakon tidak putus, Julia juga banyak ditawarkan karakter berbeza daripada sebelum ini.

“Pada awal pembabitan dulu, saya sering ditawarkan watak perampas tetapi kini tidak lagi.

“Saya tidak menolak watak antagonis yang menarik, contohnya dalam drama bersiri 20 episod Setelah Cinta Ku Pergi yang bakal bersiaran di Slot Samarinda di TV3 tidak lama lagi.

“Saya bergandingan dengan Fahrin Ahmad dan Nina Iskandar dalam cerita ini.

“Watak antagonis dalam drama penting kerana selalunya orang akan ingat dan tidak bosan dengan jalan ceritanya,” katanya.

Menyusul selepas itu, Julia terbabit dengan telefilem bergandingan dengan Zoey Rahman dan telefilem Bukan Hati Batu.

Mengenai projek filem pula, kata pemenang anugerah Pelakon Wanita Terbaik Asia Peace Film Festival 2017 di Pakistan menerusi filem pendek, Life Line arahan Michael Lourdes, dia bakal terbabit dengan filem aksi tidak lama lagi.

“Sudah lama saya mahu membintangi filem aksi. Saya mahu jadi sehebat aktres Hollwood, Angelina Jolie pada masa depan.

“Saya juga menonton semula lakonannya terutama karya aksi,” katanya.

Sebelum ini, filem lakonannya, genre seram Langsuir arahan Osman Ali berganding dengan Syafiq Kyle dan Hannah Delisha sudah menjengah pawagam tempatan pada 20 September lalu.

Antara drama dan filem yang pernah dibintanginya adalah Asam Pedas Untuk Dia, Cinta Roller Coaster, Dorm Melati, Hantu Punya Bos dan Ku Kirim Cinta.

KUALA LUMPUR 08 JANUARI 2019. Pelakon, Julia Farhana Marin. NSTP/HALIMATON SAADIAH SULAIMAN (Untuk Ramlah - RAP)
KUALA LUMPUR 08 JANUARI 2019. Pelakon, Julia Farhana Marin. NSTP/HALIMATON SAADIAH SULAIMAN (Untuk Ramlah - RAP)

Ruang untuk diri sendiri

Selepas putus cinta dengan pelakon kelahiran Singapura, Erwin Dawson, 29, baru-baru ini, Julia menegaskan mahu mengetepikan dulu soal cinta dan kahwin.

“Saya mahu beri ruang kepada diri sendiri untuk setahun.

“Berkahwin adalah perkara serius dan saya mahu perbaiki diri sebelum bersedia untuk bergelar isteri nanti,” katanya.

Dibesarkan keluarga yang pernah berdepan dengan perceraian, Julia berkata, dia mahu membina rumah tangga bahagia dan stabil apabila tiba masanya nanti.

“Maklumlah, saya anak sulung daripada tiga beradik. Saya akui diri kurang kasih sayang kerana ibu bapa berpisah ketika saya berusia 15 tahun.

“Saya memang merindui ayah tetapi dia kini berada di Australia dan mama yang membesarkan kami sendirian di sini.

“Oleh itu, saya tidak mahu perkara sedih seperti itu berlaku apabila berkahwin nanti,” katanya.

Pada masa sama, kata Julia, dia mahu melakukan banyak perkara yang diimpikan sepanjang 2019.

“Saya mahu meluangkan lebih banyak masa untuk diri sendiri dan melakukan perkara yang disukai.

“Antaranya saya mahu mengambil lesen selam skuba di Pulau Perhentian, Terengganu dan mendaki Gunung Kinabalu, Sabah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 6:30 AM