FOTO Ihsan IG istana_negara
FOTO Ihsan IG istana_negara
Siti A’isyah Sukaimi


YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah memberi bantuan kepada mangsa kemalangan jalan raya sewaktu dalam perjalanan ke Mesyuarat Pra- Kabinet di Putrajaya.

Menerusi gambar dimuat naik akaun Instagram Istana Negara, baginda turun dari kenderaan rasmi untuk memberikan bantuan kepada mangsa.

“Alhamdulillah, pemandu terbabit Puan Jasliza Jamil tidak mengalami kecederaan yang serius.

“Seri Paduka Baginda Tuanku kemudiannya meneruskan perjalanan ke Mesyuarat Pra Kabinet bersama Perdana Menteri di Istana Melawati, Putrajaya,” katanya menerusi keterangan gambar di Instagram.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan berkata, kemalangan itu berlaku di susur Persiaran Barat Lebuh Sentosa, Putrajaya jam 7.20 pagi hari ini membabitkan kenderaan jenis Perodua Alza warna merah dipandu seorang wanita berusia 38 tahun.

Katanya, kenderaan berkenaan dipercayai terbabas sendiri dan pemandu terbabit tidak mengalami kecederaan.

“Hasil siasatan mendapati pemandu itu dari Gombak hendak ke pejabat di Presint 2 dan ketika memandu di lorong kiri susur Persiaran Barat/Lebuh Sentosa dalam keadaan cuaca hujan, tiba-tiba mangsa hilang kawalan terbabas dan melanggar besi penghadang jalan sebelum menaiki pembahagi jalan sebelah kanan.

“Selepas kemalangan itu, konvoi Yang di-Pertuan Agong melalui lokasi kemalangan dan berhenti untuk melihat keadaan mangsa kemalangan.

“Baginda amat prihatin dan turut membantu mangsa kemalangan. Seterusnya baginda meneruskan perjalanan ke Istana Melawati,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, beliau berkata, keadaan jalan di lokasi kejadian adalah selekoh dan mempunyai dua jalan lorong selain cuaca hujan renyai manakala jalan basah dan licin.

Kes berkenaan disiasat di bawah Rule 10 LN 166/59.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2019 @ 10:20 AM