YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencemar duli turun dari kenderaan rasmi memberi bantuan kepada mangsa kemalangan jalan raya di Putrajaya. Foto Instagram Istana Negara
YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencemar duli turun dari kenderaan rasmi memberi bantuan kepada mangsa kemalangan jalan raya di Putrajaya. Foto Instagram Istana Negara
Siti A’isyah Sukaimi


“SAYA ingatkan polis datang nak tengok keadaan (kemalangan). Apabila saya tengok payung kuning dan nampak ada yang memakai songkok dengan lilitan putih, saya tahulah kehadiran (Yang di-Pertuan) Agong di situ,” kata Jasliza Jamil, 38.

Pegawai Komunikasi Korporat Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) itu terbabit dalam kemalangan di susur Persiaran Barat Lebuh Sentosa di Putrajaya, pagi hari ini selepas kereta Perodua Alza dipandunya hilang kawalan dan terbabas.

Susulan insiden itu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah dalam perjalanan ke Mesyuarat Pra-Kabinet di Istana Melawati di Putrajaya, turun dari kenderaan rasmi untuk memberikan bantuan kepada mangsa.

Jasliza berkata, kehadiran baginda di lokasi berkenaan kira-kira 10 minit selepas terbabit kemalangan dan ketika itu, dia dalam keadaan trauma.

“Saya trauma ketika itu dan masih duduk di dalam kereta serta tidak bergerak. Ketika itu, kawan sepejabat juga sudah sampai ke tempat kejadian.

“Baginda bertanyakan adakah saya cedera dan menitahkan supaya dibawa ke hospital jika cedera. Baginda berada di tempat kejadian lebih kurang lima minit sebelum meneruskan perjalanan,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, Jasliza berkata, dia turut membuat laporan polis susulan insiden berkenaan dan mendapatkan rawatan di klinik.

“Alhamdulillah, semua dipermudahkan malah, pegawai istana pun ada yang bertanyakan saya susulan kejadian itu... apa bantuan diperlukan semua. Kiranya, tidak habis di tempat kejadian,” katanya.

Harian Metro pagi hari ini melaporkan, Yang di-Pertuan Agong, memberi bantuan kepada mangsa kemalangan jalan raya sewaktu dalam perjalanan ke Mesyuarat Pra-Kabinet di Putrajaya.

Menerusi gambar dimuat naik akaun Instagram Istana Negara, baginda berkesempatan turun dari kenderaan rasmi untuk memberikan bantuan kepada mangsa.

“Alhamdulillah, pemandu terbabit Puan Jasliza Jamil tidak mengalami kecederaan yang serius.

“Seri Paduka Baginda Tuanku kemudiannya meneruskan perjalanan ke Mesyuarat Pra Kabinet bersama Perdana Menteri di Istana Melawati, Putrajaya,” katanya menerusi hantaran dalam keterangan gambar di Instagram.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2019 @ 5:15 PM