AMELINA teruja terima tawaran berlakon drama bersiri komedi popular arahan Erma.
AMELINA teruja terima tawaran berlakon drama bersiri komedi popular arahan Erma.
Rudy Imran Shamsudin


SEJAK bergelar penyanyi, Amelina tidak pernah termimpi akan menjadi pelakon secara serius. Jika ada pun sebelum ini, dia hanya beraksi sebagai artis jemputan bagi menjayakan sitkom atau program hiburan.

Bakat Amelina sebelum ini diketengahkan menerusi drama Patah Sayap Bertongkat Paruh bergandingan dengan pelakon popular seperti Datuk Aaron Aziz, Fasha Sandha dan Elly Mazlein. Terbaharu drama lakonannya Kariah Cak Pong ditayangkan di slot Iris, TV3.

Amelina mengakui gembira dengan perkembangan itu, lebih-lebih lagi apabila bakat lakonannya bukan saja mendapat komen positif daripada peminat, tetapi juga penggiat industri.

Lebih membuatkan penyanyi yang digelar ratu dangdut itu teruja apabila penerbit, pengarah dan pelakon popular, Erma Fatima melamarnya untuk berlakon dalam drama bersiri komedi popular Mak Cun.

Tidak pernah terlintas di fikiran penyanyi yang tampil dengan single terbaru, Janda Anak Enam itu seorang pengarah dan pelakon hebat seperti Erma Fatima menawarkannya berlakon.

“Saya tidak mengenali Erma secara dekat dan tidak pernah bekerja dengannya sebelum ini. Namun, daripada cerita yang saya dengar dia seorang yang tegas. Dia juga akan bekerja dengan orang dirasakan bagus dan memiliki etika kerja yang baik.

“Apabila dia menawarkan saya membintangi drama Mak Cun musim baharu, pasti ada sesuatu yang Erma nampak dalam diri saya. Saya tidak pernah merasakan saya pelakon yang baik, tapi apabila bekerja saya akan berusaha untuk memberikan yang terbaik dan sentiasa bersikap terbuka untuk menimba ilmu,” katanya yang memulakan penggambaran esok.

Selain itu, Amelina teruja diberi peluang bergandingan dengan barisan pelakon hebat seperti Datin Seri Umie Aida, Nora Danish termasuk Erma untuk drama terbabit yang kini dalam penggambaran.

Amelina berkata, walaupun dia gementar dan gusar untuk bekerja dengan Erma, tetapi peluang diberikan pengarah prolifik itu tidak seharusnya dilepaskan.

“Saya tidak menyangka rezeki dalam bidang lakonan semakin bertambah. Penerbit dan pengarah nampak bakat yang ada pada diri saya. Sebenarnya kalau hendak diikutkan saya sendiri tidak tahu yang saya mampu dan boleh berlakon.

“Selama ini saya hanya menonton drama Mak Cun. Saya sukakannya sejak musim pertama. Tidak sangka pula sekarang saya menjadi sebahagian daripada pelakonnya,” katanya.

Ditanya mengenai perasaan gementar dan takut berlakon di bawah arahan Erma, Amelina berkata, ketegasan Erma di lokasi penggambaran membuatkan dia takut dimarahi sekiranya tidak dapat memberikan persembahan yang dimahukan Erma kerana dia bukan pelakon yang bagus.

“Saya penyanyi dan bukan pelakon, jadi sudah tentu kemampuan saya dalam lakonan banyak kurangnya. Takut juga nanti saya tidak dapat memenuhi kehendak Erma.

“Bagaimanapun, saya bersedia untuk belajar dan menimba ilmu lakonan sepanjang penggambaran Mak Cun,” katanya.

Dalam Mak Cun musim baharu, Amelina akan membawa watak janda bernama Kamsiah, jiran Mak Cun yang selalu mencari gaduh dan bermulut celupar sehingga tidak disenangi orang kampung.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 5:30 AM