KELETAH anak lelaki tunggal Eizlan, Zareef curi tumpuan produksi.
KELETAH anak lelaki tunggal Eizlan, Zareef curi tumpuan produksi.
Rudy Imran Shamsudin


Ke mana tumpah kuah kalau tidak ke nasi. Ramai peminat tercuit hati melihat gelagat anak lelaki tunggal Datuk Seri Eizlan Yusof, Zareef Yusof beraksi di lokasi drama Mak Cun musim kelima yang kini sedang menjalani penggambaran.

Zareef terpilih membintangi drama Mak Cun terbitan produksi milik Erma Fatima selepas menjalani proses uji bakat dan memegang watak kepada cucu Mak Cun iaitu anak kepada Atun lakonan Nora Danish yang baru pulang dari luar negara.

Sewaktu Erma yang cukup terkenal dengan watak Mak Cun berkongsi beberapa rakaman video membabitkan Zareef, ia mendapat perhatian luar biasa netizen.

Antara yang menarik perhatian umum, rakaman yang dikongsi Erma apabila Zareef hendak termuntah sewaktu menjayakan babak disuap nasi bersama ikan oleh Mak Cun dan dilumur dengan selut.

Bagaimanapun, pengarah dan rakan pelakon senior yang sama-sama membintangi Mak Cun memberitahu Zareef sangat berdedikasi di lokasi malah pandai menghormati dan mengambil hati orang yang jauh lebih tua daripadanya.

Sewaktu dihubungi bagi berkongsi cerita mengenai pembabitan Zareef sebagai pelakon, kata Eizlan sebenarnya dunia lakonan bukanlah baru bagi Zareef mahupun kakaknya, Vie Zaara, 11 tahun.

“Mereka pernah berlakon iklan sebelum ini. Jadi, apabila Zareef berlakon dalam drama bersiri Mak Cun, ia bukanlah sesuatu yang baru baginya.

ZAREEF bintangi drama Mak Cun musim kelima.
ZAREEF bintangi drama Mak Cun musim kelima.

“Sebenarnya sewaktu sesi uji bakat bagi mencari pelakon kanak-kanak untuk musim terkini Mak Cun ini, Zara yang mahu sertai tetapi kebetulan hari itu Zareff mahu ikut kami.

“Sampai saja di lokasi uji bakat, pengarah Mak Cun musim kelima, Izwan Mokhtar meminta Zareef juga diuji bakat. Ini kerana watak Atun ada sepasang cahaya mata.

“Bagaimanapun, sudah tertulis rezeki hanya berpihak kepada Zareef. Ini kerana saat akhir watak anak Atun sudah berubah,” katanya.

Melihat rakaman video yang dimuat naik membabitkan Zareef, ramai yang melahirkan rasa kasihan tambahan pula dia harus bekerja dalam tempoh yang panjang. Membintangi drama bersiri sudah tentu kerjanya jauh berbeza berbanding iklan.

“Saya memang pada awalnya berasa risau kerana Zareef terpaksa bekerja dalam tempoh masa yang panjang tetapi apa yang mengejutkan adalah sebaliknya.

“Di lokasi penggambaran Mak Cun, ibu bapa kepada kanak-kanak yang terbabit tidak dibenarkan berada di sana. Ini bagi mengelakkan fokus mereka terganggu.

“Bagaimanapun, anak saya dijaga mak ciknya, Zuriati. Selaku penerbit, Erma dan pengarah Mak Cun, Izwan turut menjaga kebajikan kanak-kanak yang terbabit dengan penggambaran.

“Disebabkan itu saya tidak risau sangat walaupun saya dan ibunya tidak dibenarkan berada di lokasi. Cuma, setiap kali habis penggambaran saya akan bertanya kepadanya bagaimana kerja di lokasi. Zareef jawab dia berasa sangat seronok.

“Saya tanya juga kepada Zuriati, betul ke dia seronok di lokasi dan tidak berhadapan dengan masalah. Kata mak ciknya memang apa yang dikatakan itu memang betul. Malah saya dapat maklum balas yang baik daripada pengarah dan penerbit membabitkan disiplin kerja Zareef di lokasi,” katanya.

Dalam pada itu kata Eizlan, Zareef seronok berkawan di lokasi penggambaran. Dia dapat merasai kehidupan di kampung, bermain di bendang dan berbasikal bersama pelakon-pelakon lain.

“Salah satu sebabnya mengapa saya sendiri menggalakkan Zareef berlakon dalam Mak Cun adalah kerana dia berpeluang merasai kehidupan di kampung dan bercampur dengan rakan daripada pelbagai latar belakang. Pendek kata saya mahu dia belajar hidup bermasyarakat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2019 @ 4:30 AM