Siti A’isyah Sukaimi


PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan umat Islam supaya berusaha memperbaiki diri kerana tanpanya, tidak mungkin mereka boleh mengecapi kehidupan selesa.

Malah, beliau mengingatkan umat Islam supaya bersyukur dengan nikmat dikurniakan oleh Allah SWT kerana ia sesuatu dituntut agama Islam.

“Bersyukur dengan nikmat adalah sesuatu dituntut oleh agama kita, agama Islam. Kita sering berdoa meminta perlindungan daripada Allah SWT, meminta kita selamat, tidak ada malapetaka menimpa kita, kesempurnaan hidup mati kita.

“Kita turut bersembahyang hajat memohon daripada Allah SWT segala kebaikan, menukar nasib buruk kita kepada kesejahteraan.

“Tetapi kita harus ingat semasa kita berdoa dan bersembahyang hajat bahawa Allah SWT tidak akan makbulkan permohonan kita melainkan kita sendiri berusaha terhadap memperbaiki nasib kita. Tanpa usaha daripada kita, tidak mungkin kita hidup selesa,” katanya menerusi Perutusan Hari Raya Aidilfitri 2019, malam ini.

Pada masa sama, Dr Mahathir berkata, nikmat banyak diterima ini bukan daripada hasil usaha sendiri, tetapi daripada orang lain sama ada warga atau orang asing.

“Sementara kita nikmati semua ini, kita harus ingat bahawa nikmat kita hanya terdapat kepada kita kerana titik peluh orang asing yang bekerja untuk kita. Merekalah yang menitik peluh berusaha supaya keperluan kita sampai kepada kita, termasuklah bekalan makanan.

“Tanpa mereka, negara kita akan terus jadi negara miskin yang tidak dapat dibangunkan. Sesungguhnya nikmat banyak kita terima bukanlah daripada hasil usaha kita.

“Ia adalah hasil usaha orang lain, sama ada warga atau orang asing. Fikirlah, semasa kita bergembira dengan nasib baik kita, apakah tahap pembangunan negara kita jika tidak ada orang asing tetapi kita orang Islam sahaja yang tinggal di negara bertuah ini,” katanya.

Selain itu, Dr Mahathir berkata, umat Islam sekarang ini ditindas di mana-mana sahaja dan jika berpegang kepada kebenaran serta ajaran Islam seperti terdapat di dalam al-Quran, justeru akan sedar iaitu malapetaka yang menimpa disebabkan menolak tunjuk ajar, panduan dan nasihat di dalam al-Quran iaitu wahyu daripada Allah SWT.

“Kita tahu orang Islam itu adalah bersaudara tetapi kita lihat mereka sering bermusuh sehingga ke tahap peperangan sesama mereka. Kita dilarang membunuh, tetapi kita lihat ramai daripada kita membunuh dan terbunuh.

“Tidak ada suatu yang lebih diutamakan Islam daripada berlaku adil. Berkali-kali disebut di dalam al-Quran iaitu apabila kamu hukum, hukumlah dengan adil. Tetapi ramai daripada kita menghukum tanpa periksa, mengenepikan keadilan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, umat Islam akan bersama menyambut 1 Syawal esok dan bersyukur kerana berjaya mengamalkan ibadah puasa tanpa sebarang gangguan dan ia bukan sesuatu perkara berlaku di mana-mana sahaja.

“Ramai umat Islam tidak pun dapat berpuasa kerana keadaan di negara mereka tidak stabil, bahkan mereka terdedah kepada ancaman yang mungkin meragut nyawa mereka. Ramai daripada mereka kebuluran dan mungkin menghadapi maut.

“Sebaliknya kita di sini pada hari raya akan nikmati makanan dan juadah berlambak-lambak. Rezeki kita mungkin berlipat ganda dan hampir tidak ada pun seorang daripada kita yang tidak dapat merayakan Aidilfitri dengan sempurna,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir turut mengingatkan, umat Islam akan rugi sekiranya terus melupakan pelajaran diperoleh sepanjang bulan Ramadan lalu.

“Kita berpuasa dan kita bendung nafsu kita dengan tidak makan dan minum di siang hari. Kita berjaya selama 30 hari, tetapi takkanlah hanya bulan puasa sahaja yang kita harus bendung nafsu kita.

"Tentulah pada masa-masa lain kita perlu bendung nafsu kita. Akan rosak dan gagallah orang Islam jika pada masa lain mereka menurut nafsu. Pada masa lain juga kita perlu bersabar.

"Sesungguhnya nasib kita orang Islam di negara ini amatlah baik. Tanpa usaha daripada kita pun, kita dapat banyak nikmat. Kita merayakan hari raya Aidilfitri dengan gembira, dengan senang-lenang di negara bertuah ini.

"Buat suatu hari kita boleh lupakan segala yang kita rasai daripada ibadat puasa. Kita rayakan sepanjang bulan Syawal, mungkin seterusnya. Tetapi kita akan rugi jika kita terus lupa pelajaran yang kita peroleh pada bulan puasa," katanya.

Mengakhiri perutusan itu, beliau memohon ampun dan maaf terhadap segala yang tidak baik dilakukan oleh beliau dan isteri sepanjang tahun kepada sesiapa.

"Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun 1440 Hijrah. Sekali lagi maaf zahir dan batin kepada muslimin dan muslimat di Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Jun 2019 @ 9:09 PM
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.