Mohd Rizal Azman Rifin

Aidilfitri adalah hari kesyukuran yang memberi makna sangat mendalam kepada setiap umat Islam. Mengapakah umat Islam harus menzahirkan rasa syukur?

Selepas sebulan berpuasa, berjihad membendung nafsu dan berusaha memantapkan iman dan takwa, satu Syawal adalah hadiah Allah SWT kepada kita untuk bergembira.

Aidilfitri seharusnya diraikan dengan semangat ukhuwah tanpa mengira pangkat dan darjat. Semuanya gembira dengan kehadiran satu Syawal.

Pelaksanaan zakat fitrah yang diwajibkan ke atas semua umat Islam melambangkan keutuhan dalam aspek pembangunan sosial ke arah membina ummah bersatu, saling membantu antara golongan berada dengan yang kurang upaya.

Di sini, terlihat betapa indah dan murninya syariat Islam mewajibkan zakat. Zakat fitrah boleh dianggap komponen pelengkap kepada ibadat puasa yang dilaksanakan sepanjang Ramadan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa menunaikannya sebelum solat Aidilfitri, itulah zakat yang diterima. Dan barang siapa menunaikannya sesudah solat Aidilfitri maka ia adalah satu sedekah daripada beberapa sedekah sunat.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)

Dalam satu hadis lain, Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa memberikan zakat fitrah maka kepadanya akan diberi balasan setiap butir (beras) yang disedekahkannya akan dibalas dengan 70,000 istana megah pada ‘Hari Kemudian’. Panjang setiap istana itu dari matahari terbit ke matahari terbenam.”

Tujuan utama pelaksanaan zakat fitrah untuk membersihkan harta orang berpuasa. Selain itu, ia menjadi penampung kepada segala kekurangan yang berlaku sepanjang ibadat puasa serta membantu golongan fakir miskin.

Ibnu Abbas mengatakan Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah dari Ramadan itu untuk membersihkan orang yang berpuasa dari perkataan dan perbuatan sia-sia dan memberi makan golongan miskin.

Terdapat 10 keistimewaan orang yang berzakat fitrah menurut Rasulullah SAW. Antaranya, dibersihkan Allah SWT daripada segala dosa.

Selain itu, amalan puasa kita juga akan diterima Allah. Selagi tidak menunaikan zakat fitrah, amalan puasa akan tergantung dan tidak diterima Allah SWT.

Zakat fitrah juga menjadi penyebab kepada pembebasan daripada azab api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga Allah yang penuh nikmat.

Satu lagi fadilat zakat fitrah ialah menjadikan penunai zakat itu nanti akan bangkit dari kuburnya dalam keadaan aman.

Menurut Rasulullah SAW, orang yang berzakat fitrah berhak memperoleh syafaat daripadanya pada hari kiamat nanti.

Segala amal soleh yang dilakukan sepanjang tahun juga diterima Allah. Selain itu, Rasulullah SAW juga menyatakan orang yang menunaikan zakat fitrah akan melalui Siratul Mustakim pada hari kiamat seperti kilat menyambar.

Timbangan amal baik dilakukan menjadi lebih berat daripada kejahatan dan yang terakhir Allah SWT menghapuskan namanya daripada daftar nama orang yang celaka.

Itulah 10 jaminan Allah SWT kepada umat Islam yang menunaikan zakat fitrah. Lihatlah betapa besarnya keutamaan zakat fitrah.

Janganlah kita sekali-kali menganggapnya sebagai ibadat remeh yang boleh ditinggalkan begitu saja.

Indahnya Aidilfitri itu kerana pengisiannya merangkumi nilai kemasyarakatan dan kemanusiaan berlandaskan syariat agama.

Kita juga digalakkan berziarah ke rumah kaum kerabat, jiran tertangga dan sahabat-handai.

Amalan bermaaf-maafan dan menjamu selera di rumah terbuka menjadi satu pendekatan terbaik memperkukuh ikatan sesama umat dan menjauhi perpecahan serta perselisihan.

Dalam al-Quran Surah Ali Imran, ayat 105, Allah berfirman yang bermaksud: “Janganlah kamu menyerupai orang yang bercerai-berai dan berselisih sesudah datang keterangan yang jelas kepadanya. Mereka itulah orang-orang yang mendapat seksa yang berat.”

Rasulullah SAW juga mengingatkan kita pentingnya perpaduan. Antara sabdanya yang bermaksud: “Seorang Muslim adalah saudara Muslim lainnya, tidak menzaliminya, tidak memperdayakannya dan tidak menghinanya. Seorang Muslim hina jika menghina saudaranya sesama Muslim.

Membunuh, mengambil harta dengan zalim dan merosak kehormatan seorang Muslim adalah haram.” (Hadis riwayat Bukhari-Muslim)

Satu lagi budaya yang sering terdapat dalam masyarakat kita ketika menyambut Aidilfitri ialah sikap melampau dalam penyediaan kuih-muih dan pakaian.

Keadaan itu seolah-olah kita lupa pengajaran Ramadan yang mengajar supaya bersederhana. Menyediakan kuih-muih dan pakaian serba baru dan cantik tidak salah malah sangat digalakkan tetapi bukan sampai peringkat terpaksa berhutang.

Sambutlah Aidilfitri dengan nilai bersederhana kerana selepas ini kita ada agenda lain lagi dalam kehidupan seperti membiayai persekolahan anak-anak.

Jadi, beringatlah selalu dan jangan dituruti hawa nafsu! Ayuh kita raikan Aidilfitri dengan mensyukuri segala nikmat yang Allah kurniakan dan saling bersilaturahim.

Penulis ialah pensyarah Politeknik Muadzam Shah, Pahang

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Jun 2017 @ 1:59 PM