KEADAAN kemalangan membabitkan bas awam dan kereta di Jalan Kuala Klawang - Seremban dekat Bukit Tangga. FOTO ihsan pembaca
KEADAAN kemalangan membabitkan bas awam dan kereta di Jalan Kuala Klawang - Seremban dekat Bukit Tangga. FOTO ihsan pembaca
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor dan Abnor Hamizam Abd Manap


SEORANG pelajar Kolej Vokasional Kuala Klawang, Jelebu, maut, manakala 24 penumpang dan seorang pemandu cedera selepas bas mereka naiki terbabit kemalangan di Jalan Kuala Klawang-Seremban berhampiran Bukit Tangga, dekat Seremban, hari ini.

Turut cedera, dua lelaki yang menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) Nissan X-Trail yang terbabit dalam kemalangan itu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Ibrahim Mohd Abdul berkata, dalam kejadian 3.39 petang itu, 25 pelajar berkenaan menaiki bas awam dari Kuala Klawang menuju ke Seremban.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, bas itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Nissan X-Trail yang dinaiki dua lelaki.

“Akibatnya, bas yang membawa 25 pelajar terbalik di kaki bukit, manakala SUV berkenaan terbalik di tengah jalan,” katanya.

Menurut Ibrahim, kejadian menyaksikan seorang pelajar Kolej Vokasional maut dan selebihnya cedera dan parah.

Sementara itu jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan berkata, 25 pelajar yang menaiki bas itu adalah dari Kolej Vokasional dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Klawang.

Katanya, mereka menaiki bas itu menuju ke Terminal One, Seremban berikutan cuti sekolah.

“Pelajar mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung halaman masing-masing bagi membuat persiapan Aidilfitri,” katanya.

Menurutnya, bomba menerima panggilan jam 3.41 petang sebelum mengerahkan 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBDP) Jelebu, Seremban dan Senawang ke lokasi berserta dua jentera dan enam ambulans.

Katanya, sebaik tiba jam 4.01 petang, anggota mengeluarkan semua mangsa tersepit termasuk dua lelaki di dalam SUV berkenaan.

“Mayat dan mangsa diserahkan kepada polis untuk dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban bagi tindakan lanjut,” katanya.

Setakat ini, polis masih menjalankan siasatan berhubung punca kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2019 @ 6:14 PM