AL-SULTAN ABDULLAH menyiram air ke atas makam Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah. FOTO BERNAMA
AL-SULTAN ABDULLAH menyiram air ke atas makam Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah. FOTO BERNAMA
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz dan Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


JENAZAH Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, 88, selamat dimakamkan di Makam Diraja, di Pekan, kira-kira 5 petang ini.

Ribuan hadirin terdiri daripada kerabat diraja dan rakyat hadir pada istiadat pemakaman itu untuk memberi penghormatan terakhir kepada jenazah almarhum.

Terdahulu, jenazah almarhum dibawa menggunakan van jenazah dan tembakan meriam mula dilepaskan menandakan perarakan bermula pada 2.30 petang.

Jenazah almarhum diarak oleh pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejauh 2.2 kilometer dengan 88 das tembakan mengiringi perarakan dari Istana Abu Bakar ke Makam Diraja.

Ia sebagai simbolik kepada usia 88 tahun baginda yang mangkat di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur, 8.50 pagi semalam.

Bacaan talkin diketuai Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman.

Sebaik bacaan talkin mula dibacakan, suasana hiba mula menyelubungi perkarangan makam.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, kelihatan tenang tatkala mendengar bacaan talkin.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah; Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah; Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman, Tengku Arif Temenggong Pahang Tengku Fahd Mu’adzam Shah; Sultanah Kalsom serta kerabat terdekat turut berada di perkarangan Makam Diraja.

Kelihatan beberapa kerabat terdekat dilihat tidak dapat menahan sebak apabila saling berpelukan dan menangis ketika bacaan talkin berkumandang.

Pengumuman kemangkatan baginda dibuat Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy semalam dengan 40 hari berkabung ditetapkan kepada rakyat di negeri ini serta 100 hari kepada kerabat Diraja.

  • Lagi berita berkaitan Kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2019 @ 6:00 PM