Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Di kala muzik bergenre moden menjadi pilihan generasi muda, Muhammad Yusuf Hadi Abd Munim pula berjiwa 'orang lama' kerana lebih cenderung menyanyikan lagu klasik, asli dan Irama Malaysia.

Bakat remaja mesra disapa Yusuf Hadi, 13, itu terserlah dan mendapat perhatian warganet selepas berkongsi video nyanyiannya di TikTok.

Menyingkap kisahnya, anak bongsu daripada empat beradik itu berkata, minat terhadap bidang seni suara terbit sejak kecil apabila menyertai pertandingan nyanyian mewakili sekolah seawal usia tujuh tahun bermula dengan menyanyikan lagu kerohanian.

Menurutnya, sejak itu, dia meneruskan menyertai dan menjuarai pertandingan nyanyian irama Malaysia peringkat Kuala Lumpur, tahun lalu selain mendapat naib johan di peringkat kebangsaan.

Ditanya sebab dia menggemari lagu berentak klasik, asli dan irama Malaysia, Yusuf Hadi mengakui genre itu amat istimewa kerana mengangkat adat serta seni kebudayaan orang Melayu menerusi melodi dan lirik yang puitis.

YUSUF Hadi juga berkebolehan bermain pelbagai alat muzik.
YUSUF Hadi juga berkebolehan bermain pelbagai alat muzik.

"Walaupun orang muda, saya gemar lagu genre sebegitu kerana nampak keunikan dan lain daripada lain. Alhamdulillah, emak dan ayah beri galakan termasuk jika sertai pertandingan nyanyian.

"Antara idola dan rujukan saya adalah penyanyi seperti Allahyarham Tan Sri S M Salim, Allahyarham Datuk Ahmad Jais dan Haziq Rosebi," katanya.

Menyedari usianya masih muda, Yusuf Hadi berkata, dia tidak sekadar menyanyi, tetapi turut menimba ilmu dan pengalaman daripada guru nyanyian.

"Ayah hantar saya belajar dengan guru berpengalaman di Melaka, jadi daripada situ, saya perbaiki kelemahan dan meningkatkan mutu nyanyian.

"Jika ada rezeki, saya nak sambung pengajian dalam bidang muzik selepas tamat persekolahan.

"Ia kerana emak dan ayah pesan walau berbakat atau minat menyanyi macam mana pun, perlu ada ilmu, pelajaran tak boleh diabaikan," katanya.

Berhubung bakatnya yang mendapat pujian warganet, Yusuf Hadi mengakui terkejut apabila video nyanyiannya mendapat banyak maklum balas positif.

"Alhamdulillah, ramai puji dan saya harap sokongan berterusan, doakan juga kejayaan saya termasuk dalam memperjuangkan irama lagu tradisi walaupun ada mengatakan tak boleh ke mana," katanya.

Sementara itu, bapanya, Abd Munim Ishak, 54, berkata Yusuf Hadi dulu kurang keyakinan diri, namun kini tampak lebih berani dan menunjukkan perubahan positif dalam nyanyian.

Menurutnya, kesungguhan Yusuf Hadi mendorongnya dan isteri, Norziah Zainon, 51, untuk terus menyokong selagi bijak membahagikan masa dan tidak mengabaikan pelajaran.

"Saya menyanyi biasa saja, jadi tak tahu bakat Yusuf menyanyi lagu asli dan Irama Malaysia itu datang daripada siapa.

"Tapi saya beri galakan, malah setiap minggu akan bawa Yusuf ke Melaka untuk berjumpa dengan guru seni bagi mempelajari teknik nyanyian selain muzik, teater dan seni tradisional seperti dondang sayang dan keroncong.

"Syukur dan pada masa sama terkejut apabila lihat ramai suka nyanyian Yusuf hingga tak terlayan, tapi cuba penuhi permintaan pengikut yang mahukannya menyanyikan pelbagai lagu.

"Terharu juga kerana ramai doakan Yusuf dan sebagai bapa, saya sokong jika dia serius nak jadikan nyanyian sebagai karier. Dulukan pelajaran dan kena bijak urus masa kerana ia sangat berharga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 6:15 AM