MENJADI pilihan penerbit dan pengarah untuk mengisi watak hero. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
MENJADI pilihan penerbit dan pengarah untuk mengisi watak hero. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Ramlah Zainal


BERSANDARKAN bakat dan pakej lengkap, Aeril Zafrel terus menjadi pilihan penerbit dan pengarah untuk beraksi sebagai hero drama serta filem.

Memulakan karier lakonan pada 2006, nama jejaka berusia 31 itu terus relevan sebagai artis popular. Namun, pemilik nama sebenar Suhairil Sunari itu berkata, sampai masa untuk dia lebih memilih watak naskhah sekali gus meraih kepuasan diri serta penonton.

“Dalam hidup pun Allah SWT berikan kita pelbagai pilihan. Apatah lagi dalam dunia lakonan, kita berhak untuk memilih apa yang terbaik buat diri tanpa menyusahkan pihak lain.

“Sebagai pelakon, kita hanya berikan yang terbaik. Selebihnya, kita serahkan kepada penonton untuk menilai selain akur dengan rezeki,” katanya.

Pada masa sama, pelakon drama bersiri Jibril untuk saluran ntv7 serta platform Viu itu menafikan dakwaan dia hanya memilih watak hero dan menolak watak pembantu.

“Saya pernah melakonkan watak pembantu dalam beberapa projek drama bersiri seperti Zahir Tak Terucap, My Sweet Lavender, telefilem Dalam Mencari Keredaan dan Kita Bukan Anjing

“Justeru, tidak betul dakwaan saya terima watak hero saja,” katanya.

Terbaharu, Aeril ditawarkan menjayakan drama bersiri Cari Aku Di Syurga arahan Shahrulezad Mohameddin untuk slot Samarinda TV3 yang bakal bersiaran pada Ramadan nanti.

Menurut Aeril, dia bersetuju dengan tawaran itu kerana tertarik dengan jalan ceritanya.

“Sudah lama saya menanti peluang keemasan bekerja dengan Shahrulezad yang karyanya sentiasa hidup serta meninggalkan impak mendalam terhadap penonton.

ARIEL dan isteri Wawa Zainal. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
ARIEL dan isteri Wawa Zainal. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

“Justeru, bila ditawarkan projek ini saya terus bersetuju. Saya percaya dengan sentuhan kreatif Shahrulezad malah karyanya sering mencabar kemampuan pelakon.

“Watak yang ditawarkan juga menarik iaitu Anas yang perjalanan hidupnya penuh liku sekali gus mencabar kemampuan lakonan saya,” katanya. Digandingkan dengan Janna Nick sebagai heroin, Aeril berkata, itu kolaborasi pertama mereka dalam drama.

“Sebagai pelakon, kami bertanggungjawab menjiwai watak yang ditawarkan sebaik mungkin sekali gus menghidupkan lagi cerita ini seperti dikehendaki naskhah.

“Saya menerima siapa saja rakan gandingan dalam drama mahupun filem. Apa yang penting bagi saya jalan cerita, skrip dan olahan wataknya.

“Bila sudah berada dalam satu pasukan, kita bersedia untuk saling membantu serta melakukannya sebaik mungkin,” katanya.

Berkongsi pencapaiannya pula, Aeril sangat bersyukur dengan apa yang dikecapi setakat ini.

“Alhamdulillah, saya masih bertahan dalam bidang ini dan semoga kerja keras untuk mencari rezeki halal ini diredai Allah.

“Insya-Allah, saya akan terus berlakon dan memberi sumbangan dalam arena seni selagi diterima peminat kerana ia sudah menjadi darah daging sejak dulu.

“Soal perancangan masa depan pula, saya sudah pun memiliki produksi sendiri. Jika tiada aral, saya akan muncul dengan projek pertama sebagai sutradara.

“Selain itu, saya juga akan terbabit dalam sambungan projek mini siri yang pernah mendapat sambutan serta ada filem baharu juga,” katanya.

TIDAK mahu kerap digandingkan bersama Wawa dalam lakonan. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
TIDAK mahu kerap digandingkan bersama Wawa dalam lakonan. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

MAHU WAWA FOKUS BISNES

Suami kepada pelakon jelita Wawa Zainal itu mengakui, buat masa ini dia lebih selesa jika isterinya fokus menguruskan perniagaan kosmetik dan fesyen.

“Saya mahu Wawa komited membangunkan perniagaan yang kami usahakan kerana ia jaminan masa depan keluarga.

“Namun, saya sedar Wawa merindui kerjaya lakonan. Saya tidak halang minatnya kerana saya yakin dia tahu batas.

“Cuma buat masa ini, belum ada naskhah sesuai untuk Wawa dan dia juga sibuk dengan urusan perniagaan,” katanya.

Aeril turut menafikan dakwaan dia enggan digandingkan dengan Wawa dalam drama.

“Semuanya bergantung pada naskhah yang ditawarkan dan pada masa sama jadual tidak bertindih dengan urusan perniagaan yang penting.

“Selain itu, saya juga tidak mahu kami kerap digandingkan bersama dalam lakonan bagi mengelak persepsi orang bahawa Wawa hanya boleh berpasangan dengan saya,” katanya.

Berbicara mengenai sisi peribadi, Aeril berkata, rumah tangga yang dibina tujuh tahun lalu bahagia apatah lagi dengan kehadiran dua cahaya mata, Ahmad Fakharuddin Attar, 6, dan Hayla Maghfirahtul Adzkiyaa, 4.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan anugerah terindah ini. Bahtera kasih yang saya dan Wawa bina bahagia.

“Saya berdoa semoga ikatan kasih kami kekal hingga ke akhir hayat,” katanya yang menyunting Wawa sebagai suri hidup pada Februari 2012.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2019 @ 5:40 AM