Ridzuan Abdul Rahman


Kebiasaannya pasangan suami isteri selebriti tidak kisah digandingkan dalam drama dan filem. Namun, pendirian Aeril Zafril berbeza apabila seboleh mungkin enggan berlakon di sisi isterinya, Wawa Zainal.

Meskipun dihujani tawaran menggandingkannya dan Wawa terutama untuk drama siaran TV AlHijrah, pelakon drama Cerita Cinta Kita ini menolak secara baik bagi menjaga hati isteri tercinta.

“Saya tak pernah halang Wawa berlakon kerana itu minatnya. Baru-baru ini pun dia membintangi drama bersiri Duda Terlajak Laris untuk slot Akasia TV3. Lagipun rasanya Wawa dan produksi tahu watak sesuai untuknya.

“Cuma, kami tak betah jika digandingkan kerana nanti saling menegur antara satu sama lain. Wawa tak suka berlakon dengan saya memandangkan saya agak cerewet. Silap gaya dia boleh merajuk di lokasi.

“Bagi saya teguran bagus untuk perbaiki kekurangan yang ada, tetapi dalam keadaan saya dan Wawa, rasanya tidak sesuai,” katanya.

Aeril atau nama sebenarnya Suhairil Suhairi, 28, berkata, bagi mengelak ada yang berjauh hati, dia dan Wawa memutuskan untuk tidak bergandingan.

“Ia bukanlah masalah besar kerana kami ada pilihan. Ketika sama-sama sibuk berlakon, dua anak kami iaitu Ahmad Fakhruddin Attar, dua tahun lapan bulan dan Hayla Maghfiratul Adzkiyaa, lapan bulan dijaga keluarga.

“Wawa pun tidak terlalu aktif berlakon. Sesekali sahaja dia muncul dan kemudian berehat panjang sebelum ambil tawaran baru. Tambahan pula dia sibuk menguruskan perniagaan kami, Wawa Soflens dan Wa.clothing,” katanya yang mahu menambah zuriat empat tahun lagi.

Aeril turut memaklumkan dia tidak ambil hati sekiranya pengarah menegur lakonannya. Sebagai pelakon, dia sentiasa bersikap terbuka dan bersedia menerima kritikan.

“Saya suka teguran dan sekiranya pengarah tak tegur saya akan rasa tak selesa. Bahkan saya sendiri akan bertanya adakah lakonan saya memuaskan atau sebaliknya.

“Kadangkala saya faham ada pengarah enggan menegur kerana bosan dengan sikap pelakon yang tidak mahu berubah dan berusaha memperbaiki mutu lakonan,” katanya.

Pertengahan Ramadan ini, Aeril akan menghabiskan masa selama seminggu di Indonesia bagi mendalami ilmu agama. Apabila pulang ke tanah air, dia akan membantu Wawa menguruskan perniagaan mereka.

“Syukur segalanya berjalan dengan baik. Bulan ini saya akan tampil dengan empat drama iaitu Tetamu Ramadan, Patahnya Sebelah Sayap dan Nahu Rindu untuk TV3 serta Ku Haramkan Susu Itu untuk TV9.

“Tidak dinafikan saya hadkan kemunculan. Saya kena pilih skrip yang sesuai kerana tidak mahu merosakkan reputasi. Kadang-kala jalan cerita drama pun seakan-akan sama.

“Apapun bergantung juga kepada situasi. Ada ketikanya bayaran kecil, tetapi kerana watak kuat dan digandingkan dengan pelakon bagus, saya terima tawaran itu,” katanya.

Selain itu, Aeril akan melalui pengalaman baru apabila terbabit dalam pementasan teater Lela Manja di Panggung Sari Istana Budaya penghujung Julai nanti.

“Sudah tiga kali saya ditawarkan pihak IB dan saya sendiri tak tahu apa kriteria yang saya ada sehingga jadi pilihan mereka. Saya menolak sebelum ini kerana kurang yakin dengan kemampuan diri. Pentas teater berbeza dengan drama kerana kesilapan di atas pentas tidak boleh diperbaiki.

“Sekarang saya sudah yakin dan bersedia sepenuhnya. Walaupun ini kemunculan pertama di pentas teater, saya mahu buktikan boleh buat yang terbaik.

“Sebelum pementasan berlangsung, saya akan menyertai kelas lakonan teater ibu Fauziah Nawi dan mengkaji watak Manja daripada filem klasik Lela Manja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Jun 2016 @ 9:31 AM