Mohd Husni Mohd Noor


LEMBAGA Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan hibah atau bonus sebanyak 1.25 peratus kepada semua 9.3 juta pendepositnya bagi tahun kewangan 2018 membabitkan agihan keseluruhan RM913 juta.

Ini bermakna ia agihan hibah terendah diagihkan badan pengurusan haji itu.

Mengulas mengenai perkara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, agihan hibah itu sudah mengambil kira bayaran zakat sebanyak RM85.5 juta yang sudah dibayar terus kepada pusat pungutan zakat di seluruh negara.

Beliau berkata, agihan hibah kepada pendeposit TH tetap diberikan berdasarkan situasi kewangan semasa.

“Saya ingin jelaskan bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) mewarisi TH daripada kerajaan sebelumnya dalam suasana yang amat menyedihkan khususnya mengeluarkan dividen empat tahun berturut-turut dengan melanggar akta TH itu sendiri.

“Oleh kerana itu, TH mengalami masalah jurang difisit yang tinggi antara tanggungan dan juga aset kita. Memandangkan kepada komitmen kerajaan untuk membetulkan TH melalui program pemulihan dan rehalibitasi TH maka, kita berjaya menyelesaikan beberapa perkara," katanya pada sidang media selepas Majlis Taklimat Prestasi Lembaga Tahung Haji dan Pengumuman Hibah bagi tahun 2018 di Putrajaya, hari ini.

Katanya, TH kini berjaya mengimbangi kedudukan kewangan antara aset dan liabiliti.

Dr Mujahid berkata, kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM500 juta pada tahun 2020 dan seterusnya sebanyak RM1.73 bilion setahun sehingga sukuk ditebus semula.

“Jumlah keseluruhan peruntukan kerajaan selama 10 tahun adalah sebanyak RM17.8 bilion," katanya.

Katanya, kerajaan akan memastikan ketelusan dalam operasi dan kedudukan kewangan TH pada masa hadapan malah, yakin dengan keupayaan pengurusan dan lembaga pengarah TH untuk memulihkan institusi kewangan Islam itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan TH Datik Seri Zukri Samat berkata, TH mencatatkan lebihan aset sebanyak RM1 bilion bagi tahun kewangan semasa berbanding defisit RM4.1 bilion manakala, keuntungan boleh agih sebanyak RM2 bilion.

Menurutnya, setakat 31 Disember 2018, TH merekodkan aset keseluruhan sebanyak RM76.5 bilion iaitu lebih tinggi berbanding liabiliti berjumlah RM75.5 bilion.

“Berdasarkan prestasi ini, TH berjaya memenuhi dua syarat yang membolehkan pengistiharan hibah dibuat iaitu mempunyai keuntungan boleh agih dan aset melebihi liabiliti,” katanya.

Pendeposit TH boleh menyemak pengkreditan hibah tahunan TH 2018 bermula Isnin (8 April) ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2019 @ 5:15 PM