MUJAHID ketika sidang media di Kuala Lumpur. FOTO Eizairi Shamsudin
MUJAHID ketika sidang media di Kuala Lumpur. FOTO Eizairi Shamsudin
Mohd Nasaruddin Parzi

LEMBAGA Tabung Haji (TH) dijangka mengumumkan agihan hibah 2019 sedikit masa lagi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

“(Hibah) akan diumumkan sedikit masa lagi,” katanya ringkas dan enggan memperincikan tarikh pengumuman hibah TH ketika ditanya media.

Terdahulu, beliau mengadakan sidang media bersama Setiausaha Agung Komanwel, Patricia Scotland yang menamatkan siri lawatan rasminya ke Malaysia, hari ini.

April tahun lalu, TH mengumumkan agihan hibah 1.25 peratus membabitkan pengagihan berjumlah RM913 juta kepada semua pendeposit bagi tahun kewangan 2018, pengagihan hibah terendah dalam sejarah TH.

Sebelum ini, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Nik Mohd Hasyudeen Yusoff memberi bayangan TH dijangka mengagihkan pembayaran hibah lebih tinggi bagi tahun kewangan 2019 berbanding tahun lalu.

Katanya, keyakinan itu berdasarkan prestasi TH setakat suku ketiga tahun lalu, yang mencatatkan keuntungan bersih berjumlah RM500 juta pada suku ketiga 2019 manakala keuntungan untuk tempoh sembilan bulan tahun lalu ialah RM1.3 bilion.

Daripada segi pendapatan, TH merekodkan pendapatan RM900 juta pada suku sama, meningkatkan pendapatan untuk sembilan bulan bagi 2019 kepada RM2.1 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Februari 2020 @ 3:11 PM