GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Siti A'isyah Sukaimi


HARGA runcit petrol RON97 dan RON95 masing-masing naik satu sen seliter, pada harga RM2.28 seliter dan RM1.98 seliter, manakala diesel kekal RM2.18 seliter berkuat kuasa tengah malam ini.

Menurut kenyataan Kementerian Kewangan, harga runcit produk petroleum itu bagi tempoh 16 hingga 22 Februari manakala penetapan harga secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

“Harga purata produk petroleum yang diproses di pasaran dunia meningkat berbanding minggu sebelumnya iaitu daripada AS$62 setong kepada AS$63 setong bagi petrol RON95 dan daripada AS$73 setong kepada AS$74 setong bagi diesel.

“Peningkatan harga pasaran global ini menyebabkan kenaikan harga runcit bagi produk petrol dan diesel, namun harga runcit petrol RON95 masih lagi di bawah paras penstabilan harga yang dijanjikan oleh kerajaan iaitu RM2.20 seliter,” katanya di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, kenaikan minimum bagi kedua-dua produk ini juga didorong oleh faktor pengukuhan nilai Ringgit Malaysia (RM) berbanding mata wang Dollar Amerika Syarikat (AS$).

“Bagaimanapun, selaras dengan janji kerajaan untuk menstabilkan harga runcit diesel pada paras RM2.18 seliter, harga runcit diesel bagi tempoh 16 sehingga 22 Februari 2019 adalah dikekalkan pada paras RM2.18 seliter dan bukannya RM2.20 seliter," katanya.

Sebelum ini, harga runcit petrol RON97 ialah RM2.27 seliter, RON95 pula RM1.97 seliter manakala diesel RM2.18 seliter.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Februari 2019 @ 4:58 PM