UQASHA SENROSE
UQASHA SENROSE
Ramlah Zainal


EPISOD cinta Uqasha Senrose dengan beberapa rakan artis sebelum ini tidak berakhir ke fasa perkahwinan seperti diimpikan.

Namun, kisah cintanya bersama rakan artis kembali hangat diperkatakan apabila dia sering memuat naik gambar bersama pelakon Ben Amir di Instagram, Ogos lalu.

Malah, Uqasha pernah membuat kenyataan kepada media, dia dan Ben dalam proses mengenali hati budi masing-masing ketika itu.

Bagaimanapun, ada pihak mendakwa kisah cinta mereka sudah berakhir apabila mereka tidak lagi memuat naik gambar bersama di Instagram ketika ini.

Uqasha yang ditemui di sesi penggambaran video sitkom Spanar Jaya X di Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya, petang kelmarin merungkai persoalan mengenai hubungannya dengan Ben yang diperkatakan ramai sebelum ini.

BEN Amir dan Uqasha berlakon sama dalam Spanar Jaya X.
BEN Amir dan Uqasha berlakon sama dalam Spanar Jaya X.

“Sebenarnya, kami dalam proses berkawan sebelum ini. Selepas mengenalinya, saya melihat kami lebih selesa dan sesuai sebagai kawan dan bukan ke fasa seterusnya lagi,” katanya.

Ditanya sama ada dia serik untuk bercinta dengan rakan artis, Uqasha menafikannya.

“Saya tidak serik pun. Saya juga terbuka untuk berkawan dengan ramai orang termasuk dari luar industri hiburan. Namun, jika sudah ditakdirkan jodoh dengan rakan artis, saya tetap terima,” katanya.

Ditanya mengenai sasaran usia untuk berumah tangga, Uqasha berkata, dia bersedia untuk berkahwin jika bertemu jodoh sesuai.

“Maklumlah, saya berasal daripada keluarga yang pernah melalui situasi perceraian sebelum ini. Saya tidak mahu berkahwin hanya dua, tiga bulan dan selepas itu bercerai kerana tidak bahagia.

“Saya juga bimbang apabila ada anak nanti, mereka terpaksa melalui situasi yang pernah saya lalui dulu. Sebab itu, saya perlu mencari calon sesuai untuk berkahwin demi masa depan,” katanya.

Mengulas mengenai kriteria lelaki dicari pula, kata Uqasha, dia mengimpikan lelaki tinggi lampai, tetapi bukan bertubuh sado yang menjadi trend ketika ini.

Ganding dengan Ben Amir dalam Spanar Jaya X

Berkongsi perkembangan karier seni pula, Uqasha bakal muncul dengan sitkom terbaru, Spanar Jaya X yang bersiaran setiap Sabtu, jam 11 malam di TV3 bermula 2 Februari tahun depan.

Selain Uqasha, sitkom 13 episod arahan Ahmad Idham terbitan Enfiniti Production ini turut menampilkan barisan pelakon seperti Ben Amir, Opie Zami, Douglas Lim, Sangeeta, MJ dan Teh Yang.

“Saya sukar menolak tawaran buat sitkom yang cukup popular dan diperkenalkan pada 1998 itu. Pada mulanya, saya bimbang melakonkan watak utama sebagai Syasya kerana pasti orang akan membandingkan dengan pelakon asalnya, Wardina Safiyyah.

“Selepas meneliti skrip dan sesi latihan bersama barisan pelakon dan pengarah, saya mendapat keyakinan untuk menjiwai watak seperti dikehendaki,” katanya.

Uqasha turut berdepan cabaran kerana tempoh penggambaran sitkom itu singkat iaitu seminggu untuk menyiapkan penggambaran sebanyak 13 episod.

“Saya akui berlakon drama dan sitkom sesuatu yang berbeza. Kami perlu menyiapkan penggambaran dua episod sehari seperti dijadualkan,” katanya.

Ditanya gandingan dengan Ben pula, Uqasha mengakui tiada masalah untuk bekerjasama di lokasi.

“Kami berkawan baik dan ia memudahkan bekerjasama dan berikan yang terbaik pada sitkom ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Disember 2018 @ 7:46 AM