UQASHA
UQASHA
Najiy Jefri

MELIHAT kebahagiaan orang lain yang memiliki pasangan hidup tidak memberi tekanan buat Uqasha Senrose untuk menjalani kehidupan dengan gembira.

Bagi pemilik nama sebenar Nik Zaris Uqasha Nik Sen ini, kegagalan percintaan lalu membuatkan dirinya enggan tergesa-gesa menamatkan zaman bujang.

Mengakui berhati-hati dalam soal teman hidup supaya tidak tersilap langkah, Uqasha percaya masa yang terbaik akan tiba.

“Soal pasangan hidup ini tidak boleh dipaksa-paksa. Jika belum rezeki kita perlu gembira teruskan kehidupan.

“Sebagai individu yang matang dan pernah putus cinta, sudah tentu saya kena memilih dalam mencari pasangan hidup dan bukan senang-senang nak terima seseorang dalam hidup kita.

“Bukan apa, nanti apabila sudah tidak boleh terima, ketika itu baru nak rasa sakit atau menyesal sudah tiada guna. Jadi perlu untuk saya cari seseorang yang betul-betul serasi,” katanya.

Walaupun adiknya yang juga pelakon Nelydia Senrose sudah mendirikan rumah tangga manakala Raysha Rizrose sudah memiliki teman lelaki, namun ia tidak membuatkan pelakon berusia 25 tahun ini berasa sunyi.

ADRIANA Carissa kini sudah berusia lebih dua bulan.
ADRIANA Carissa kini sudah berusia lebih dua bulan.

Uqasha berkata, dia beruntung kerana mempunyai teman-teman rapat yang sentiasa ada di sisi selain hubungan adik-beradik yang kuat.

“Sebenarnya tak pernah rasa sunyi. Saya ada kawan-kawan, sepupu dan adik-beradik yang sentiasa ada ketika susah dan senang.

“Walaupun Nelydia dan Raysha mempunyai kehidupan mereka sendiri tapi kami tetap akan mencuri masa bersama dan meluangkan waktu bersama satu keluarga. Jadi tak sempat nak rasa sunyi atau apa-apa.

“Kalau saya sibuk bekerja di lokasi penggambaran, saya ada rakan-rakan iaitu kru produksi yang sentiasa mengambil berat dan peramah,” katanya.

Ditanya jika teman hidup yang baru nanti dalam kalangan ahli perniagaan atau kerabat berusia, Uqasha tidak memilih.

Katanya, dia terbuka untuk mengenali sesiapa saja asalkan individu yang muncul dalam hidupnya itu matang dan memiliki kesabaran yang tinggi.

“Kalau ada lelaki yang lebih berusia saya okey saja tapi dia harus matang dan mempunyai kesabaran yang tinggi terhadap saya supaya dapat mengawal perangai saya nanti.

“Jujur saya tak pilih dengan siapa nak berkawan. Saya layan semua orang sama saja asalkan orang itu baik, ikhlas dan setia,” katanya.

Menyentuh mengenai kerjaya lakonan yang semakin mekar dan mewangi, Uqasha berkata, dia bersyukur apabila kehadirannya semakin mendapat tempat dan diberi kepercayaan ramai terutama pihak produksi dan stesen televisyen.

Kata Uqasha, dia ingin memantapkan lagi lakonannya pada tahun ini dan tidak terfikir untuk mencuba cabang baru. Fokus saya kini adalah untuk menjadi pelakon yang lebih baik dan serius dalam merencana kerjaya seni.

“Saya rasa buat masa ini saya hanya mampu dalam bidang lakonan saja dan tidak yakin untuk mencuba nasib dalam pengacaraan,” katanya.

Sebelum menutup perbualan bersama Uqasha, dia sempat berkongsi mengenai perubahan yang ingin dibuat untuk menjadi individu lebih baik.

“Dalam kehidupan seharian kita perlu perbaiki diri setiap hari. Akan ada banyak masalah yang perlu kita lakukan untuk kita berubah jadi lebih baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 January 2020 @ 6:00 AM