AHMAD Idham bersama Douglas dan Opie.
AHMAD Idham bersama Douglas dan Opie.
Amirul Haswendy Ashari.


PELAKON dan pengarah Ahmad Idham Nadzri, 45, mengakui ada peminat sitkom Spanar Jaya tidak berpuas hati apabila tiada gabungan pelakon asal ditampilkan dalam Spanar Jaya X yang baru ditayangkan semalam.

“Apa pun saya terima teguran itu dengan terbuka kerana saya tahu akan ada banyak lagi aksi dan situasi lucu serta menghiburkan penonton untuk episod seterusnya.

“Ini baru episod pertama dan untuk plot cerita kali ini saya terpaksa ketengahkan dulu pembinaan watak-watak baru," katanya.

Bagaimanapun, dia bersyukur mendapat banyak maklum balas positif selepas episod pertama Spanar Jaya X ditayangkan semalam.

Katanya, ramai menganggap sitkom terbaru itu mengubati kerinduan mereka terhadap siri yang pernah menjadi kegilaan selama enam musim lewat era 90-an.

Ahmad Idham turut meluahkan rasa gembira kerana watak ikonik Mat Rock lakonan Opie Zami berjaya menggamatkan episod pertama bersama watak baru lakonan Douglas Lim.

“Saya pasti apabila watak Uqasha dan Ben Amir masuk nanti, penonton akan lebih terhibur.

“Saya perlu berterima kasih kepada TV3 yang berani keluar dari kepompong arus drama semasa dan mengetengahkan semula sitkom sebenar untuk tatapan penonton.

“Rasanya sudah lama kita tidak dihidangkan dengan konsep sitkom sebegini. Alhamdulillah," kata Idham yang turut berterima kasih kepada Enfinity Production kerana memberi peluang kepadanya mengarahkan karya itu.

Spanar Jaya X bersiaran di TV3 setiap Sabtu, jam 11 malam.

Ia menampilkan lakonan Uqasha Senrose dan Ben Amir selaku watak utama serta penampilan khas Nabila Huda.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Februari 2019 @ 7:03 PM