Georgie Joseph


Kuala Lumpur : Penyanyi Kaka Azraff, 34, selamat melahirkan anak ketiga yang juga bayi lelaki seberat 2.75 kilogram pada jam 6.03 pagi di pusat perubatan di Kota Damansara, di sini, hari ini.

Kaka atau nama sebenarnya, Nor Atiqa Noor Azraff berkata, dikurniakan anak lelaki lagi adalah anugerah yang cukup bermakna kerana sekarang dia dikelilingi ramai lelaki dalam hidupnya.

"Saya kehilangan bapa ketika berusia 10 tahun. Saya membesar dalam keluarga yang kebanyakannya wanita. Kurang mendapat kasih sayang daripada lelaki, saya anggap Allah pusing balik takdir itu kepada saya.

"Saya dan suami sangat gembira dapat anak lelaki lagi. Malah, anak sulung kami pun turut sama teruja. Saya gembira dan terbayang-bayang apabila tua nanti akan dikelilingi ramai hero dalam keluarga," katanya kepada Harian Metro.

Penyanyi lagu Gila itu juga sanggup menahan sakit kontraksi selama tiga hari malah masih meneruskan aktiviti hariannya. Pada sekitar jam 1 pagi hari ini, barulah dia ke hospital.

"Dari Jumaat lagi sebenarnya rasa kontraksi itu. Tapi saya masih boleh tahan dan sampai semalam pun sempat pergi membuat rias kuku. Tapi, sebelah tengah malam akhirnya tewas dan pergi 'serah diri' di hospital.

"Alhamdulillah, memang lancar sangat-sangat dan doktor pun cakap semuanya baik-baik termasuk bayi. Kali ini saya juga akan tetap berpantang di bawah agensi yang saya gunakan khidmatnya sejak anak pertama," katanya.

Kaka berkahwin dengan dengan Adam Adzriff pada 14 Disember 2018. Pasangan itu sudah dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Aslan, 4, dan Aryan yang kini berusia setahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2023 @ 1:11 PM