MISHA Omar. FOTO Mohd Asri Saifuddin Mamat
MISHA Omar. FOTO Mohd Asri Saifuddin Mamat
Norhayati Nordin

Meskipun karier nyanyian yang diceburinya selama 17 tahun boleh dianggap sudah mantap dan stabil, pelbagai persoalan bermain di fikiran Misha Omar.

Penyanyi berusia 36 tahun ini tanpa berselindung mengakui dia pernah tertanya-tanya adakah dirinya masih relevan untuk terus berjuang dalam industri seni.

Pemilik nama sebenar Samihah@ Aisah Omar ini berkata, walaupun sudah beberapa anugerah berjaya dimilikinya, itu tidak bermakna dia harus berasa selesa dan tiada rasa khuatir bersarang di hati.

“Apabila agak lama menyepi daripada nyanyian sebelum ini saya bimbang dan pernah terfikir adakah pembabitan dalam karier seni akan terus diterima peminat.

“Apatah lagi, selain faktor status saya juga melihat peningkatan umur yang semakin berusia. Jadi, sejauh mana peminat akan terus terima?

“Saya hilang keyakinan dan ditambah pula kemunculan penyanyi baharu berbakat besar bersilih ganti membuatkan banyak persoalan tak diduga timbul,” katanya.

Misha berkata, penyepian selama lebih setahun itu kerana dia menumpukan sepenuh perhatian terhadap penjagaan anaknya, Muhammad Idris Ezzwa, yang kini berusia dua tahun.

Terdahulu, Misha bertemu jodoh dengan lelaki pilihannya yang bekerja sebagai juruterbang, Firos Ezzwan Rosli pada 2014.

Menurut pelantun lagu Bunga-Bunga Cinta ini, terlalu banyak masalah dihadapinya dalam tempoh berkenaan yang enggan dikongsinya dengan masyarakat.

“Perasaan rindu pada karier nyanyian itu tetap ada, namun pada masa sama saya ada masalah vokal selepas melahirkan anak.

“Saya tidak boleh menyanyi dengan baik dan yakin kalau peminat mendengarnya, sudah pasti mereka tidak percaya vokal Misha Omar sebegitu.

“Terus terang, saya jadi malu dan beranggapan adakah sudah sampai masa saya berhenti,” katanya.

Menurut Misha, dia juga mula memikirkan apa yang pernah dikongsi oleh penyanyi Siti Sarah Raisuddin mengenai masalah vokal dihadapi selepas bersalin.

“Saya pernah tidak percaya apa yang dikongsikan Siti Sarah itu tetapi mengakui kebenarannya selepas melalui pengalaman itu sendiri.

“Tidak dinafikan saya pernah berasa seperti kehilangan karakter pada vokal dan ternyata ia memerlukan masa untuk pulih semula,” katanya.

Misha berkata, antara usaha yang dilakukan bagi mengatasi masalah itu adalah dengan mendapatkan bantuan daripada penyanyi dan guru vokal Dia Fadila.

“Selepas bersalin, saya perlu cari semula karakter suara yang hilang.

“Jadi, saya tekad menghadiri kelas vokal untuk meraih semula keyakinan yang kian menipis. Apatah lagi, saya mencari kepuasan dalam berkarya,” katanya.

Menurut anak jati Kota Bharu, Kelantan ini, dia sangat berterima kasih kepada Dia Fadila kerana banyak membantunya mengatasi permasalahan itu.

Misha kini menjadi sebutan dengan single terbaru berjudul Sampai Bila ciptaan komposer Sharon Paul dan lirik ditulis bersama Ahmad Fedtri Yahya dan Shah Shamsir.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 November 2018 @ 5:30 AM