Misha bersama suaminya, Firos Ezzwan Rosly (kanan) bersama anak sulung mereka. FOTO MISHA OMAR
Misha bersama suaminya, Firos Ezzwan Rosly (kanan) bersama anak sulung mereka. FOTO MISHA OMAR
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi popular Misha Omar memilih nama Muhammad Idris Ezzwa untuk bayi lelakinya yang dilahirkan pada 24 Ogos lalu.

Misha, 34, berkata, dia bersyukur apabila bayinya yang dilahirkan pra-matang itu sudah dibenarkan pulang malam tadi selepas seminggu dirawat di hospital.

"Sepanjang seminggu lalu saya melalui episod getir yang menguji kasih sejati seorang ibu. Alhamdulillah, Idris menunjukkan perkembangan kesihatan yang positif sepanjang berada di bawah pengawasan doktor dan dibenarkan pulang malam tadi," katanya.

Misha berkata, dia berterima kasih kepada semua peminat yang mendoakan kesihatan diri dan anaknya.

"Saya terharu apabila peminat turut berkongsi kegembiraan selepas dua tahun menanti untuk menimang cahaya mata sulung.

"Saya bersyukur keadaan kesihatan sudah semakin baik. Bagaimanapun masih dalam proses menyesuaikan diri dengan suasana baru sebagai ibu," katanya.

Misha melahirkan Idris di Hospital Canselor Tunku Mukhriz, Cheras, di sini, pada 24 Ogos lalu jam 10.20 malam.

Bayi seberat 2.05 kilogram itu dilahirkan secara normal, namun tiga minggu awal dari tarikh jangkaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 September 2016 @ 7:50 PM