Misha bersyukur anak kini berada dalam keadaan lebih sihat. FOTO ROSELA ISMAIL
Misha bersyukur anak kini berada dalam keadaan lebih sihat. FOTO ROSELA ISMAIL
Norhayati Nordin


PENYANYI Misha Omar, 36, akhirnya berkongsi rahsia 'penyepiannya' selama lebih setahun kerana memberi tumpuan penuh terhadap penjagaan rapi anak sulungnya, Muhammad Idris Ezzwa, yang kini berusia dua tahun.

Misha ditemui berkata anaknya, Muhammad Idris Ezzwa atau mesra disapa Idris dilahirkan pra-matang ketika usia kandungan lapan bulan dan memerlukan penjagaan dan pemerhatian rapi di hospital.

"Keadaan kesihatan Idris selepas dilahirkan memang merosot. Apabila saya berulang-alik ke hospital, dalam hati memang selalu berdoa semoga dia menjadi anak yang tidak gentar berjuang.

"Boleh dikata, ketika itu hospital menjadi rumah kedua saya dan melihat Idris membesar sekarang dalam keadaan lebih sihat, saya berasa sangat bersyukur," katanya.

Ujar Misha, sokongan suami, kakaknya, Mimi dan keluarga sangat bermakna kerana bukan mudah untuknya menjadi kuat dan reda.

Menurut pemilik nama sebenar Samihah@ Aisah Omar ini, melihat keadaan anaknya, Idris membuatkan dia nekad mencari kekuatan diri untuk menempuhi ujian diberi Allah SWT.

"Sebenarnya, penjagaan Idris memang rapi kerana di atas nasihat doktor yang merawatnya saya memang tidak bawa dia (Idris) keluar rumah selama setahun.

"Bukan itu saja, saya juga sampai sekarang masih belum lagi membuat majlis cukur jambul atau kesyukuran untuk Idris kerana ingin memastikan keadaan kesihatannya betul-betul baik.

"Hingga kini, saya masih lagi memerlukan rujukan doktor untuk Idris kerana dia anak yang sangat istimewa. Idris sangat mengajar menjadi tabah, cekal dan banyak bersabar," katanya.

Misha juga memberitahu single popularnya, Sampai Bila sangat dekat dengan jiwa kerana ia berkait rapat kehidupan peribadinya sebagai wanita yang bergelar ibu.

"Lagu Sampai Bila ini adalah satu persoalan yang pernah berlaku pada diri saya disaat terlalu memikirkan keadaan kesihatan Idris.

"Saya sering tertanya-tanya, sampai bila Idris akan terus begini (keadaan kesihatannya ketika itu) dan saya tidak putus doa supaya dia dapat membesar dengan baik dan sihat seperti bayi lain," katanya.

Misha berkata berkat kesabarannya selama hampir dua tahun akhirnya dirasakan sangat berbaloi kerana anaknya, Idris semakin sihat dan single Sampai Bila nyanyiannya mendapat sambutan baik pendengar.

Apapun, Misha yang pernah popular dengan lagu Bunga Bunga Cinta bertemu jodoh dengan juruterbang, Firos Ezzwan Rosli pada 2014 lalu.

Terdahulu, Misha hadir pada majlis pelancaran muzik video single Sampai Bila ciptaan komposer Sharon Paul dan lirik ditulis bersama Ahmad Fedtri Yahya dan Shah Shamsiri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 November 2018 @ 5:58 PM