Misha Omar
Misha Omar
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi, Misha Omar menyifatkan kemenangan Aina Abdul yang meraih trofi Vokal Terbaik pada Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL) Ahad lalu adalah pilihan tepat dan terbaik dibuat barisan juri profesional.

Misha berkata, Aina adalah penyanyi terbaik yang dilahirkan dalam industri muzik tempatan.

"Kalau juri dah bagi (kemenangan), maksudnya dia memang layak. Aina adalah penyanyi yang bagus dan antara penyanyi terbaik yang dilahirkan di Malaysia," katanya pada sesi siaran langsung di Instagram, baru-baru ini.

Menurut Misha, dia menyukai bakat hebat yang dimiliki empat penyanyi tanah air yang dianggap cukup sempurna dan berbakat besar.

"Kalau nak cari 'pitch' yang tepat, penyanyi seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Aina Abdul, Ernie Zakri dan Marsha Milan. Mereka adalah antara penyanyi yang 'tersusun' dengan betul ketika menyanyi. Kalau saya guru vokal, saya bagi mereka markah A+," katanya.

Dalam masa sama, Misha turut berkongsi pengalaman suka dan duka ketika menyertai pertandingan itu.

"Saya merasai pelbagai pengalaman untuk ke pentas AJL. Saya pernah kecewa apabila lagu Dedebu Cinta gagal untuk ke peringkat akhir AJL20 pada 2005.

"Saya pernah rasa apabila lagu gagal ke peringkat separuh akhir, pernah rasa gelaran juara kategori Balada (lagu Pulangkan AJL19) dan pernah merasai gelaran juara di AJL18 (Bunga-Bunga Cinta).

"Tapi rasa kecewa itu membuatkan saya berusaha lebih keras lagi untuk memberikan yang terbaik pada masa akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2024 @ 4:52 PM