KANAK-KANAK yang menjadi mangsa utama dalam peperangan di Gaza bukan saja kehilangan ibu bapa, tetapi juga tempat tinggal.
KANAK-KANAK yang menjadi mangsa utama dalam peperangan di Gaza bukan saja kehilangan ibu bapa, tetapi juga tempat tinggal.
Muhammad Saufi Hassan


Sudah 154 hari peperangan meletus di Semenanjung Gaza yang mengorbankan lebih 30,000 rakyat negara berkenaan dan lebih 70,000 dilaporkan cedera sejak tercetusnya peperangan dengan rejim Zionis itu.

Peperangan yang bermula pada 7 Oktober lalu turut memperlihatkan kira-kira 1,000 individu menjadi tawanan kedua-dua pihak.

Mangsa utama kepada peperangan ini pastinya kanak-kanak dan angka korban itu juga majoritinya golongan berkenaan sekali gus menimbulkan 1,001 persoalan berkenaan suara 'hak kemanusiaan' yang sering diperjuangkan dunia Barat.

Untuk isu Palestin, suara hak kemanusiaan itu seakan-akan sudah bisu malah tindakan segelintir negara dunia Barat juga seolah-olah memberi keizinan kepada Israel untuk terus melakukan penghapusan rakyat Palestin secara terang-terangan.

Secara asasnya, serangan rejim Zionis memusnahkan hampir keseluruhan infrastruktur di Gaza termasuk hospital yang turut dijadikan sasaran dengan alasan lokasi itu menjadi tempat persembunyian tentera Hamas.

RAKYAT Gaza melihat kesan runtuhan bangunan di bandar berkenaan selepas tercetusnya peperangan dengan rejim Zionis, Oktober tahun lalu.
RAKYAT Gaza melihat kesan runtuhan bangunan di bandar berkenaan selepas tercetusnya peperangan dengan rejim Zionis, Oktober tahun lalu.

Berdasarkan kenyataan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kanak-kanak yang dilaporkan terkorban dalam perang di Gaza lebih ramai berbanding perang lain sejak empat tahun di seluruh dunia.

Ketua Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini dipetik sebagai berkata, hakikat itu sangat mengejutkan.

Catatannya itu merujuk data PBB yang menunjukkan 12,193 kanak-kanak terbunuh dalam konflik di seluruh dunia antara 2019 dan 2022.

Bilangan itu kemudian dibandingkan dengan laporan daripada Kementerian Kesihatan di Gaza yang dikendalikan Hamas, menunjukkan lebih 12,300 kanak-kanak maut di wilayah Palestin antara tempoh Oktober lalu dan akhir Februari.

KESAN kemusnahan penempatan di bandar Gaza akibat pengeboman tidak berperikemanusiaan oleh tentera Zionis.
KESAN kemusnahan penempatan di bandar Gaza akibat pengeboman tidak berperikemanusiaan oleh tentera Zionis.

Perang di Gaza bermula dengan serangan Hamas pada 7 Oktober lalu, mengakibatkan kira-kira 1,160 kematian di Israel, kebanyakannya orang awam, menurut data agensi berita antarabangsa (AFP) berdasarkan angka rasmi Israel.

Kumpulan pejuang itu turut menculik dan menangkap kira-kira 250 sebagai tebusan, puluhan daripadanya dibebaskan ketika gencatan senjata selama seminggu pada November.

Tindakan balas Israel yang melancarkan serangan darat dipercayai membunuh 31,184 rakyat Palestin di Gaza setakat ini, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut Kementerian Kesihatan Palestin.

Dalam pada itu, Amerika Syarikat (AS) meminta Hamas membebaskan wanita, tebusan warga emas bagi membolehkan gencatan senjata lebih lama.

KEADAAN persekitaran Semenanjung Gaza yang dimusnahkan sejak tercetusnya peperangan pada 7 Oktober lalu.
KEADAAN persekitaran Semenanjung Gaza yang dimusnahkan sejak tercetusnya peperangan pada 7 Oktober lalu.

Krisis di Semenanjung Gaza berkenaan terus menjadi air mata untuk umat Islam seluruh dunia apabila saban hari dilaporkan dengan kehilangan nyawa khususnya kanak-kanak yang tidak berdosa.

Peperangan yang berlaku pada ketika ini direkodkan sebagai antara yang terburuk dalam sejarah sehingga memaksa penduduk Gaza berpindah dari kediaman mereka akibat serangan bertali arus daripada rejim Zionis.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2024 @ 7:01 AM