KHAIRIRI kini kekal istiqamah. FOTO/NSTP
KHAIRIRI kini kekal istiqamah. FOTO/NSTP
Redzuan Muharam


KLANG: “Kalau dulu, saya sangkakan hanya lelaki yang dapat memberi kasih sayang dan cinta.

“Tapi mereka hanya mempergunakan saya sebagai tempat untuk memuaskan nafsu,” kata bekas mak nyah, Mohd Khariri Mohamad Ramli atau lebih mesra dengan panggilan Cikgu Erin.

Mohd Khariri, 40, berkata, pengalaman pahit itu menjadikannya lebih kuat untuk kekal istiqamah walaupun berdepan dengan ujian getir terutama di awal penghijrahan.

Anak jati Perak itu juga bersyukur kerana berjaya membebaskan dirinya daripada belenggu kecelaruan jantina selepas diberi petunjuk untuk kembali ke pangkal jalan oleh Allah SWT.

“Sepanjang bergelar mak nyah, saya pernah mempunyai dua teman lelaki dalam satu masa dan hubungan kami tidak ubah seperti pasangan suami isteri.

“Namun, percintaan dengan teman lelaki pertama terputus kerana masing-masing curang. Manakala, hubungan dengan teman lelaki kedua diputuskan selepas dia memperalatkan saya.

“Bekas teman lelaki suruh saya melacur dan saya kena menyara dirinya yang juga seorang penagih dadah. Saya dilayan macam hamba seks dan syabu umpama makanan ruji kami,” katanya.

Menurutnya, kesengsaraan dialami mendorongnya untuk berubah dan keinginan itu semakin kuat selepas melihat beberapa rakan terdekat meninggal dunia.

Dia memberitahu selagi bernyawa, setiap insan itu masih memiliki masa untuk bertaubat dan memohon keampunan Allah SWT.

“Jika diimbas kembali, proses penghijrahan saya agak mencabar kerana diuji dengan beberapa perkara, tetapi saya tabahkan hati kerana tidak mahu lagi menjalani kehidupan sebagai mak nyah.

“Sukar untuk masyarakat menerima saya ketika itu dan paling tidak dapat lupakan apabila ada jemaah enggan bersalam selain menghalau saya supaya solat di saf perempuan sedangkan saya ke masjid dengan memakai jubah lelaki.

“Itu belum lagi fitnah lain yang dilemparkan tetapi saya abaikan kerana mahu hidup dengan tenang tanpa ada rasa dendam, benci atau prasangka buruk terhadap sesiapa pun,” katanya.

Selepas meninggalkan dunia mak nyah, Mohd Khariri berazam untuk terus mendalami ilmu agama kerana baginya, pengetahuan itu yang akan menjadi bekalan sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Katanya, pada masa sama, dia juga juga merancang untuk mendirikan rumah tangga kerana mahu memiliki teman hidup dan zuriat sendiri lelaki lain.

“Jujurnya, saya tidak sangka akan berubah seperti sekarang kerana menyangka diri ini akan kekal sebagai mak nyah sehingga ke akhir hayat. Namun, hidayah itu milik Allah SWT dan syukur kerana dibukakan hati untuk kembali ke pangkal jalan.

“Sekarang sudah timbul keinginan untuk ada isteri tapi niat terbantut kerana masalah kesihatan. Kalau boleh saya mahu lengkapkan diri dengan ilmu agama barulah berkahwin. Kalau boleh saya mahu tamatkan zaman bujang pada tahun 2020 nanti,” katanya.

Sejak empat bulan lalu Mohd Khariri, bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dalam usaha menyantuni komuniti Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

Hasil kepercayaan diberikan Mohd Khariri, berjaya menarik komuniti LGBT untuk menghadiri kelas bimbingan dianjurkan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Ipoh, Perak.

Selain itu, Mohd Khariri, kini aktif menyampaikan ceramah, menghadiri seminar dan forum di sekolah serta Institusi pengajian tinggi (IPT) bagi memberi kefahaman mengenai komuniti LGBT kepada orang ramai.

“Tanggungjawab mengajak ke arah kebaikan bukan hanya terletak di bahu pendakwah sebaliknya orang yang ada pengalaman dan pernah menempuh zaman gelap itu juga perlu ke depan.

“Selepas ini saya bercadang untuk mendekati ibu bapa yang ada anak anak bermasalah (terbabit dalam komuniti LGBT).

“Ibu bapa ini boleh bawa anak masing-masing untuk berjumpa kaunselor bagi mendapatkan nasihat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 November 2018 @ 10:30 AM