MARADONA masih menjalani rawatan selepas pembedahan otak untuk mengeluarkan darah beku. FOTO AFP
MARADONA masih menjalani rawatan selepas pembedahan otak untuk mengeluarkan darah beku. FOTO AFP
AFP

Olivos: Legenda Argentina, Diego Maradona masih ditahan di hospital untuk tempoh beberapa hari lagi untuk menjalani rawatan selepas pembedahan otak bagi mengeluarkan darah beku, kata doktor yang merawatnya.

"Kami melihat selepas fasa pembedahan Diego mengalami kekeliruan," kata doktornya, Leopoldo Luque.

Katanya lagi, ahli terapi yang merawat Maradona mengaitkan kelakuan itu sebagai simptom 'penarikan diri' dan rawatan ke atasnya akan berlanjutan selama beberapa hari lagi.

Luque tidak menyatakan secara terperinci tetapi Maradona mempunyai sejarah panjang ketagihan dadah dan alkohol.

Meskipun dia secara terbuka menyatakan tidak lagi ketagihan kokain, rakan rapat serta laporan media melaporkan Maradona masih ketagihan alkohol.

Pada sidang meda di luar klinik swasta di Buenos Aires yang menyaksikan sekitar 80 minit diperlukan untuk mengeluarkan darah beku Selasa lalu, Luque memberi penerangan keadaan terkini legenda berusia 60 tahun itu.

"Diego berada dalam keadaan baik. Ujian imbasan mendapati segala-galanya baik. Malah kami sempat menari, benar, menari!" katanya.

Luque berkata, Maradona bersetuju untuk terus ditahan bagi menjalani rawatan.

Maradona yang juga pemenang Piala Dunia, dibawa ke hospital pada Isnin lalu untuk menjalani beberapa siri ujian selepas tidak sihat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2020 @ 9:25 AM