AHMAD Faizal (10 dari kiri) bergambar bersama 30 pasangan pengantin yang dinikahkan serentak di Majlis Nikah Jamaie Syarie Peringkat Negeri Perak Tahun 2018 di Masjid Sultan Azlan Shah, Ipoh, hari ini. FOTO Muhaizan Yahya.
AHMAD Faizal (10 dari kiri) bergambar bersama 30 pasangan pengantin yang dinikahkan serentak di Majlis Nikah Jamaie Syarie Peringkat Negeri Perak Tahun 2018 di Masjid Sultan Azlan Shah, Ipoh, hari ini. FOTO Muhaizan Yahya.
Balqis Jazimah Zahari


SERAMAI 30 pasangan dinikahkan serentak menerusi program Majlis Nikah Jama’ie Syarie Peringkat Negeri Perak Tahun 2018 di Masjid Sultan Azlan Shah, Ipoh, hari ini.

Program anjuran Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) itu bermula pada 8 pagi dengan khutbah nikah disampaikan Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian, Rujuk Orang Islam Negeri Perak, Zakaria Abd Razak disusuli dengan majlis ijab dan kabul.

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu hadir bagi meraikan pasangan pengantin, sekali gus merasmikan majlis yang diadakan sempena Hari Malaysia itu.

Hadir sama, Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin.

Sebaik selesai majlis pernikahan, pasangan pengantin berusia antara 19 hingga 39 tahun itu diarak ke dewan jamuan makan di Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM) untuk majlis resepsi dan makan beradab.

Sementara itu, Yusop berkata, program itu sudah memasuki tahun keenam dan sepanjang tempoh berkenaan ramai pengantin diraikan dengan penuh meriah mengikut panduan hukum syarak.

“Majlis seperti ini sekurang-kurangnya dapat menjimatkan masa, tenaga serta wang bagi pasangan pengantin yang baru mendirikan mahligai kehidupan.

“Begitupun, JAIPk tidaklah menyetujui sifat malas berusaha dan malas menyimpan wang dengan hanya menunggu tarikh penganjuran program seperti ini apabila kira-kira 80 peratus perbelanjaannya ditaja.

“Pasangan dinasihatkan untuk menyimpan wang bagi digunakan di awal kehidupan berumah tangga tanpa dibebani hutang,” katanya ketika ditemui pada majlis berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 September 2018 @ 1:46 PM