NURUL (kiri) bersama suami, Muhd Wan Fareezal Amran, serta ibunya, Saainah di Taman Rekreasi Gunung Lang. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
NURUL (kiri) bersama suami, Muhd Wan Fareezal Amran, serta ibunya, Saainah di Taman Rekreasi Gunung Lang. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


KEHADIRAN ibu yang juga bekas penghidap kanser payu dara memberi pengalaman terindah buat Nurul Hafizatul Noraizam, 20, pada hari persandingannya bersama suami Muhd Wan Fareezal Amran, 29.

Nurul Hafizatul antara 17 pasangan pengantin yang disatukan serentak dalam majlis perkahwinan beramai-ramai di Taman Rekreasi Gunung Lang di Ipoh, hari ini.

Majlis dianjurkan Pertubuhan Sokongan dan Kesedaran Kanser Penyayang Perak (PENYAYANG) membabitkan pasangan pengantin berusia antara 18 hingga 29 tahun.

Terdahulu, mereka dinikahkan 17 jurunikah dari Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) diketuai Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin di Masjid Muhammadiah (Masjid Cina) di Ipoh pada sebelah pagi.

Nurul Hafizatul berkata, dia berasa gembiara apabila ibunya Saainah Samin, 44, turut hadir bagi memeriahkan hari bahagianya.

“Alhamdulillah, biarpun ibu saya sudah menjalani pembedahan merawat kanser tahap dua lima tahun lalu, namun sokongan terhadap majlis ini ibarat membela golongan senasib dengan ibu,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha PENYAYANG yang juga pengarah program, Nur Idayu Zainal Rashid berkata, setiap pasangan dikenakan bayaran RM3,700 sekali gus boleh membawa sehingga 150 tetamu.

Katanya, sebahagian bayaran itu akan disalurkan kepada PENYAYANG bagi membantu memperjuangkan kebajikan pesakit kanser.

“Program ini antara cara untuk mengumpul dana bagi menggerakkan usaha PENYAYANG dalam membantu penghidap kanser,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Februari 2020 @ 8:15 PM