MOHD Akmal Kamarudin (kanan) bercakap pada sidang media berkenaan prosedur operasi standard (SOP) pernikahan tanpa kursus perkahwinan di Bangunan Perak Darul Ridzuan. FOTO Balqis Jazimah Zahari
MOHD Akmal Kamarudin (kanan) bercakap pada sidang media berkenaan prosedur operasi standard (SOP) pernikahan tanpa kursus perkahwinan di Bangunan Perak Darul Ridzuan. FOTO Balqis Jazimah Zahari
Balqis Jazimah Zahari


BAKAL pengantin di Perak tidak perlu menghadiri Kursus Pra Perkahwinan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan dan hanya perlu menghadiri Tatacara Temuduga Khas (TTK) sebelum dinikahkan di Pejabat Agama Daerah masing-masing mulai esok.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan Negeri Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) memberi kelonggaran itu berikutan kursus terbabit tidak dapat diadakan sepanjang PKP.

"Ini adalah kelonggaran yang kita berikan kepada mereka yang bakal mendirikan rumah tangga dalam tempoh terdekat (dalam tempoh PKP) dan belum menghadiri Kursus Pra Perkahwinan Islam.

"TTK akan berkuatkuasa esok dan terbatal dengan sendirinya apabila tamat tempoh PKP," katanya pada sidang media di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin.

Mohd Akmal berkata, urusan permohonan untuk mengikuti temuduga khas berkenaan akan diuruskan oleh Pejabat Agama Islam Daerah (PAID).

"Pemohon hendaklah hadir ke PAID untuk mengambil borang permohonan temuduga khas berkenaan.

"Perkhidmatan TTK ini adalah secara percuma, walaubagaimanapun bayaran sebanyak RM5 sahaja hendaklah dibayar secara tunai oleh pemohon bagi tujuan pengeluaran Sijil Kursus Pra Perkahwinan Islam," katanya

Beliau berkata, selain itu JAIPk juga akan mengambil beberapa pendekatan lain termasuk ujian kefahaman secara dalam talian selepas berakhirnya tempoh PKP.

"Kursus Pra Perkahwinan secara bersepadu akan disemak semula dan dipertimbangkan pelaksanaannya selepas pasca Covid-19 nanti.

"Berkemungkinan kita akan meneruskan pendekatan kursus perkahwinan secara dalam talian bagi memudahkan urusan pasangan yang sebelum ini perlu menghadiri kursus berkenaan dalam tempoh lama," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata setakat ini sebanyak 262 pasangan di negeri ini sudah menjalani majlis akad nikah mengikut prosedur operasi standard (SOP) selepas diberikan kebenaran oleh JAIPk sejak 22 April lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2020 @ 2:21 PM