DUA kru bot warga Indonesia dipercayai diculik sekumpulan lelaki di perairan Pulau Gaya. FOTO ihsan pembaca
DUA kru bot warga Indonesia dipercayai diculik sekumpulan lelaki di perairan Pulau Gaya. FOTO ihsan pembaca
Abdul Rahemang Taiming


DUA kru bot warga Indonesia dipercayai diculik sekumpulan lelaki di perairan Pulau Gaya, Semporna, hari ini.

Kedua-dua mangsa adalah juragan dan pembantunya yang menggunakan bot Dwi Jaya 1, masing-masing berusia 30-an.

Perkara itu disahkan pemilik bot nelayan tempatan terbabit, Armanus Arsad ketika dihubungi di Semporna, hari ini.

Kejadian itu turut disahkan Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Peter Anak Umbus, namun enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih dijalankan.

Armanus berkata, ketika kejadian empat kru berada di atas bot terbabit menangkap ikan di perairan berkenaan dalam keadaan lampu bot terpasang.

Katanya, berdasarkan cerita dua lagi kru, ketika kejadian kedua-dua mangsa berada di atas bot manakala dua lagi di bilik enjin sebelum didatangi antara dua hingga empat suspek menaiki bot laju.

"Kejadian itu disedari dua kru bot yang terselamat apabila mereka mendakwa melihat dari celah bilik enjin dua mangsa dibawa dengan bot laju.

"Jumlah anggota penculik dan sama ada mereka membawa senjata tidak dapat dipastikan kerana keadaan sekeliling yang gelap," katanya.

Difahamkan, ini kejadian culik pertama di perairan Sabah dalam tempoh hampir dua tahun selepas kali terakhir pada 8 Disember 2016 apabila pasukan keselamatan menembak mati tiga penculik dan dua lagi ditangkap dalam kejadian berbalas tembakan di perairan Semporna.

Dalam kejadian itu, seorang mangsa culik diselamatkan dan seorang lagi hilang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 September 2018 @ 10:33 AM