ABD RASHID ketika sidang media di IPD Semporna. FOTO Norasikin Daineh
ABD RASHID ketika sidang media di IPD Semporna. FOTO Norasikin Daineh
Norasikin Daineh


Semporna: Seorang mangsa culik bersama dua penjenayah disahkan hilang dalam kejadian berbalas tembakan di perairan Pulau Gaya, semalam.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abd Rashid Harun berkata, terdapat empat kejadian berasingan berlaku di kawasan perairan Lahad Datu di antara Bakapit dan Pulau Adal serta di perairan Pulau Gaya, Semporna.

"Dalam kejadian 9 malam itu, berlaku penculikan pertama iaitu seorang juragan dilarikan tujuh lelaki bersenjata api yang menaiki sebuah bot laju di perairan Lahad Datu, manakala dalam kejadian kedua suspek yang sama melakukan rompakan terhadap sebuah bot nelayan sebelum melakukan penculikan dalam kejadian ketiga di perairan Pulau Gaya.

"Dalam kejadian keempat pula, bot laju yang dinaiki suspek menghampiri sebuah bot nelayan yang terdapat anggota polis dan berlaku kejadian berbalas tembakan sebaik anggota polis memberi amaran memperkenalkan diri mereka sebagai polis," katanya ketika ditemui dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna, hari ini.

Susulan kejadian itu, Abd Rashid berkata, tiga suspek ditemui terapung di laut selepas ditembak pasukan polis dan tiga lagi berjaya diselamatkan.

"Kejadian ini menyebabkan tiga suspek ditembak mati, dua suspek berjaya ditangkap dan seorang mangsa culik dalam kejadian pertama di Lahad Datu berjaya diselamatkan.

"Bagaimanapun, dua lagi suspek bersama seorang mangsa dalam kejadian kedua sehingga kini hilang kerana ketika kejadian keadaan kelam kabut berlaku berbalas tembakan antara pasukan keselamatan dan penjenayah," katanya.

Sehubungan itu, Abd Rashid berkata, usaha mencari tiga lagi individu termasuk mangsa culik sedang giat dilakukan dengan kerjasama daripada semua pasukan keselamatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Disember 2016 @ 2:17 PM